Masa depan Xhaka cetus tanda tanya

Granit Xhaka - Foto: Agensi
Granit Xhaka - Foto: Agensi
A
A
A

MASA depan pemain sensasi, Granit Xhaka bersama Arsenal pada musim depan mencetuskan tanda tanya selepas kegagalan The Gunners dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022/23.

Pengurus The Gunners, Mikel Arteta yang memuji pengaruh besar pemain berusia 30 tahun itu dalam pasukan bagaimanapun enggan mengulas nasib mana-mana pemain menjelang aksi terakhir EPL menentang Wolves pada Ahad.

“Bagi saya (dia) sangat penting di setiap peringkat dan saya fikir untuk pasukan dan kebaikan kelab," ujar Arteta.

Xhaka menjadi tunjang penting bersama Thomas Partey di bahagian tengah dalam percaturan Arteta untuk musim ini selain menjadi pemain yang disegani.

Kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah itu ekoran kontraknya akan tamat pada akhir musim depan.

“Ketika saat hebat yang kami tempuh musim ini selepas berdepan keadaan yang sukar.Saya fikir kami sudah menjadi kelab yang dibarisi dengan pemain yang lebih baik.

“Saya fikir kelab dan ramai orang melakukan yang terbaik untuk berada di sana dan memahami apa yang berlaku secara emosi dan mengapa reaksi itu berlaku,” ujar Arteta.

Xhaka menghabiskan empat tahun di Jerman bersama Borussia Monchengladbach sebelum Arsene Wenger membawanya ke Arsenal pada 2016 dengan harga kira-kira 30 juta pound (RM170.40 juta).

Pemain antarabangsa Switzerland itu bagaimanapun mempunyai hubungan yang kurang baik dengan peminat dan kemuncak perbalahan adalah apabila dia digantikan semasa perlawanan menentang Crystal Palace di Emirates empat tahun lalu.

Pengurus Unai Emery kemudiannya melucutkan tugasnya sebagai kapten dan masa depannya di kelab kelihatan suram.

Namun musim ini menyaksikan kebangkitan Xhaka apabila Arsenal memberi tekanan kepada Manchester City sehingga ke minggu-minggu terakhir musim dalam perebutan gelaran juara liga.