Lesen untuk membunuh

Mangsa ditembak mati berhampiran pos pemeriksaan Huwwara di Nablus.
Mangsa ditembak mati berhampiran pos pemeriksaan Huwwara di Nablus.
A
A
A

RAMALLAH - TEBING BARAT. Kementerian Luar Palestin mengecam sikap berdiam diri komuniti antarabangsa berhubung tindakan agresif tentera Israel dan peneroka haram Yahudi terhadap rakyatnya.

Katanya sikap sedemikian seolah-olah memberi lampu hijau kepada rejim Zionis untuk terus menzalimi rakyat Palestin yang tidak bersalah. Pada masa sama, kementerian itu juga semakin hilang kepercayaan terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya memberi perlindungan kepada orang awam di Palestin.

Dalam keganasan terbaharu semalam, seorang pemuda Palestin ditembak mati oleh pendatang Yahudi berhampiran pos pemeriksaan Huwwara di Nablus.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, mangsa Muhammad Abdulfattah berasal dari daerah Salfat di utara Tebing Barat, cuba melakukan serangan menggunakan sebilah pisau.

Bagaimanapun, pihak keselamatan Palestin berkata, maklumat yang diperoleh mengatakan lelaki itu hendak melintas jalan di kawasan berkenaan.

Suspek yang menembak warga Palestin itu dikenal pasti sebagai Joshua Sherman, penduduk setinggan di Elon Moreh.

Agensi berita Maan berkata, Abdulfattah yang sedang memandu traknya dihalang oleh kereta Sherman, sebelum mangsa turun dan ditembak.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Palestin di Tebing Barat berkata, Khaled Rawajbeh, 22, juga cedera ditembak dalam kejadian itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: