Kakitangan kerajaan menang bar emas, cabutan bertuah Nafas

Pemenang utama bar emas seberat 50 gram, Mohd Aziz Mohd Rawi
Pemenang utama bar emas seberat 50 gram, Mohd Aziz Mohd Rawi
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kakitangan kerajaan, Mohd Aziz Mohd Rawi memenangi hadiah utama berupa bar emas seberat 50 gram dalam cabutan bertuah yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pertandingan itu adalah sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang diadakan pada 4 hingga 14 Ogos lalu.

Mohd Aziz, 38, dari Gombak mengakui bersyukur dengan kemenangan itu selain tidak menyangka memenangi hadiah utama iaitu bar emas seberat 50 gram.

“Saya merupakan petugas di MAHA 2022 yang bertugas selama tiga hari sahaja.

“Sebenarnya saya isi permohonan itu sekadar suka-suka dan banyak juga peraduan lain yang saya sertai di MAHA tersebut.

“Saya sangat teruja dan tak sangka menjadi individu paling bertuah dari 20,000 penyertaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Katanya lagi, hadiah tersebut akan disimpan sebagai kenang-kenangan terutama ia merupakan simbolik 50 tahun Nafas.

Nafas pada Isnin menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang seperti yang telah diumumkan pada hari terakhir MAHA 2022 iaitu pada 14 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Cabutan berkenaan telah diadakan pada hari terakhir MAHA 2022 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid dan disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook Nafas.

Para pemenang bergambar kenangan bersama Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob (belakang, lima dari kiri) dan barisan ahli jemaah pengarah Nafas
Para pemenang bergambar kenangan bersama Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob (belakang, lima dari kiri) dan barisan ahli jemaah pengarah Nafas

Majlis penyampaian hadiah Cabutan Bertuah MAHA 2022 disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob kepada pemenang cabutan bertuah berkenaan.

Sementara itu, pemenang Samsung S20, Chew Lin Lin, 52, dari Klang berkata, dia tidak menyangka dengan hanya mengisi satu borang telah berjaya memperoleh hadiah kedua.

“Saya pergi MAHA dengan suami dan dua anak pada Isnin (8 Ogos). Kami sekeluarga memang akan pergi ke sana setiap kali MAHA diadakan.

“Sangat seronok kerana ini pertama kali saya sertai peraduan. Tak sangka nama dicabut menjadi pemenang,” katanya.

Selain itu, pemenang-pemenang hadiah cabutan bertuah lain turut menerima hadiah termasuk ‘Samsung A52’, basikal lipat, seterika stim, ‘Samsung Tab’ dan televisyen.