MAHA 2022: Nafas tawar diskaun sehingga 30 peratus

Gelagat orang ramai yang mengunjungi Pavilion Nafas sempena MAHA 2022 di Maeps, Serdang pada Jumaat.
Gelagat orang ramai yang mengunjungi Pavilion Nafas sempena MAHA 2022 di Maeps, Serdang pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menawarkan promosi produk sehingga 30 peratus sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung pada Khamis hingga 14 Ogos ini.

Eksekutif Pemasaran Nafas, Mas Ayu Chek Amat berkata, beberapa produk terpilih daripada jenama Peladang ditawarkan potongan harga sekitar 20 peratus hingga 30 peratus bagi setiap pembelian.

“Di MAHA, kami cuba melakukan jualan air secara barista klasik sejuk dan panas bagi mewakili produk runcit yang kami jual.

“Di samping itu, kami juga ada produk daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands bagi produk aiskrim popsicle yang mempunyai pelbagai perisa seperti strawberi.

“Dari segi harga, memang kita ada menawarkan promosi sehingga 30 peratus daripada harga jualan biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pavilion Nafas di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Nafas Food, Khairul Izzat Basir pula berkata, turut terdapat produk berasaskan ayam proses dengan diskaun sekitar RM2 bagi setiap item.

Menurutnya, produk yang dibekalkan itu antaranya ayam potong 14, ayam potong satu kilogram (kg), paha ayam tanpa tulang dan isi dada tanpa tulang.

“Jadi, untuk setiap produk kita tawarkan diskaun sebanyak RM2 daripada harga runcit. “Sebagai contoh, kalau ayam potong satu kg kita jual harga runcit sekitar RM18, tetapi di MAHA kita jual dengan harga RM16 manakala untuk paha ayam tanpa tulang daripada RM22 kepada RM20,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan harga istimewa tersebut.

Sebarang maklumat lanjut berhubung aktiviti dan program anjuran Nafas sepanjang di MAHA 2022 juga boleh didapati dengan melayari platform media sosial Nafas di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok.