Transit PATI diserbu, lapan warga tempatan, 92 Myanmar ditahan

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (kiri) menunjukkan kereta yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji, Kota Bharu yang dijadikan transit PATI, pada Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (kiri) menunjukkan kereta yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji, Kota Bharu yang dijadikan transit PATI, pada Selasa lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji di sini yang dijadikan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu pada Selasa lalu.

Hasil serbuan tersebut polis menahan 92 PATI warga Myanmar dan tujuh lelaki tempatan dipercayai 'transporter' (penghantar).

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pada jam 4.40 pagi itu, polis menahan 21 wanita dan 71 lelaki warga Myanmar berusia dari 16 hingga 51 tahun yang masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

"Siasatan awal ke atas tujuh suspek berusia antara 17 hingga 43 tahun mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan.

"Transpoter itu memberitahu mereka dibayar sebanyak RM1,500 daripada setiap ejen yang terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, pada Isnin.

Beliau berkata, pada Rabu lalu tindakan susulan dilakukan pada jam 5.15 pagi terhadap seorang lelaki di Wakaf Che Yeh di sini selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru.

Menurutnya, hasil temubual awal, suspek dipercayai merupakan seorang pengatur 'transporter' yang membawa PATI dari Kelantan ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja.

Muhamad Zaki berkata, kesemua PATI tersebut dikatakan masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua tangkapan ditempatkan di rumah transit tersebut sebelum dihantar keluar dari Kelantan.

"Kami turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, sebuah HRV jenis Honda hitam, sebuah Toyota Inova, sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah Perodua Bezza.

"Sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM4,113, Thai Bhat 1,100 dan 10 kad sim juga dirampas," katanya.