'Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya' - Abd Latiff

Laporan Sinar Harian. Gambar kiri: Abd Latiff
Laporan Sinar Harian. Gambar kiri: Abd Latiff
A
A
A
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) merupakan isterinya.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara tersebut.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.



“Sebagai Anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Isnin mendakwa dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Berdasarkan semakan katanya, kedua-dua syarikat terbabit iaitu Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.
Artikel Berkaitan:


Menurut Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

Untuk rekod, Rafizi sebelum ini mendakwa sebuah Alizes Marine Limited diwujudkan untuk memindahkan sejumlah RM192 juta daripada projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) ke beberapa akaun luar negara yang tidak dapat dijejaki.

Ujar beliau, siasatan dalaman LCS mendapati, Alizes Marine Limited itu adalah antara syarikat luar pesisir yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan pembekalan tidak wujud.