Tiada mustahil buat Bayern

Mane meledak dua gol ketika membantu Bayern menewaskan Bochum 7-0 pada aksi Bundesliga di Berlin pada Sabtu. - Foto Eurosport
Mane meledak dua gol ketika membantu Bayern menewaskan Bochum 7-0 pada aksi Bundesliga di Berlin pada Sabtu. - Foto Eurosport
A
A
A

PENYERANG berbisa, Sadio Mane teruja dengan permulaan menakjubkan Bayern Munich sambil memuji pengurus pasukannya, Julian Nagelsmann yang menerapkan taktikal dan latihan intensiti tinggi.

Pemain berusia 30 tahun itu mendedahan corak latihan yang dipraktikkan sangat tinggi dan diterjemahkan oleh para pemain pada aksi sebenar.

“Ia sukar dipercayai, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan saya berdasarkan cara kami berlatih.

“Ia tahap tinggi, intensiti tinggi dan semua yang kami lakukan berbaloi kerana kami bekerja keras dalam latihan,” kata Mane kepada laman web Bundesliga.

Bayern menang tiga perlawanan awal dengan meledak 15 gol dan dibolosi sekali, sekali gus memiliki perbezaan 14 jaringan yang bermakna ia adalah permulaan paling hebat dalam sejarah Bundesliga.

Bintang Senegal itu yang menghabiskan enam tahun di Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp, memberi kredit kepada Nagelsmann di atas penguasaan pasukannya.

Bercakap kepada media selepas menjaringkan dua gol ketika Bayern membelasah Bochum 7-0, Mane berkata, tahap persediaan Bayern cukup rapi dan memiliki jurulatih yang sangat bagus.

“Kami memiliki jurulatih yang sangat bagus. Idea dimilikinya memang luar biasa. Memang sukar untuk pasukan lain mencabar kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mane yang menyertai Bayern dari Liverpool pada musim panas dengan yuran £27.4 juta (RM145.25 juta) sudah meledak empat gol dalam empat penampilan bersama Bayern.

Pada aksi menentang Bochum, Mane menghasilkan jaringan pembukaan pada babak pertama, manakala gol babak kedua pula dijaringkan menerusi sepakan penalti.

Mane dilihat diberi peranan sebagai pengambil sepakan penalti bagi Bayern.

Biarpun Mane menjaringkan 90 gol daripada 196 penampilan di Liverpool, tiada satu pun dijaringkan menerusi sepakan penalti kerana tugas itu digalas bintang Mesir, Mohamad Salah.