Jelajah UsahaWIRA beri inspirasi peniaga PKS terokai dunia digitalisasi

A
A
A

Lebih 200 peserta menghadiri jelajah UsahaWIRA yang dibawakan oleh Maxis Business di Kota Bharu pada Sabtu.
Lebih 200 peserta menghadiri jelajah UsahaWIRA yang dibawakan oleh Maxis Business di Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Jelajah UsahaWIRA yang dilancarkan oleh Maxis Business bertujuan memberi pendidikan untuk melahirkan lebih ramai golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu meneroka dunia digitalisasi lebih berjaya pada masa hadapan.

Ketua Segmen PKS Maxis, Kevin Lee berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada program UsahaWIRA yang telah dilancarkan pada tahun 2021, bagi memanfaatkan Geran Digitalisasi SME oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Sebagai komitmen untuk memudahkan digitalisasi dengan lebih baik dan pantas, Maxis mengambil inisiatif dengan turun padang ke seluruh negara menerusi jelajah UsahaWIRA.

"Menerusi jelajah itu, para peserta boleh mengetahui pemasaran digital, jualan elektronik dan sebagainya menerusi gerai pameran oleh Maxis Business bersama rakan kongsi iaitu AmBank, Bank Simpanan Nasional (BSN), MDEC dan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia," katanya yang ditemui selepas Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA di Hotel H Elite di sini pada Sabtu.

Menurutnya, jelajah UsahaWIRA yang turun ke seluruh negara ini mampu menyebarluaskan lagi rangkaian perhubungan antara peniaga dan pengusaha.

Jelasnya, para peniaga perlu tahu mengenai kepentingan digitalisasi dan tidak harus ketinggalan dalam meneroka kemudahan ini.

Artikel Berkaitan:

Kevin berkata, ini merupakan peluang terbaik kepada PKS untuk mendapat ilmu dan perkongsian rahsia daripada rakan-rakan usahawan yang sudah menempa kejayaan dalam perniagaan.

Menurut beliau, setakat ini lebih 25,000 PKS sudah dibantu melalui Geran Digitalisasi SME dan berharap ramai lagi akan mendapat manfaat pada masa hadapan.

"Pada masa sama, para peserta juga boleh mendapatkan konsultasi percuma untuk memeriksa sama ada layak menuntut sehingga RM5,000 daripada Geran Digitalisasi SME," ujarnya.

Selain itu katanya, peserta boleh mendapatkan inspirasi melalui sesi meja bulat dengan pemilik perniagaan tempatan yang akan bercerita tentang perjalanan digitalisasi perniagaan mereka, mendapat akses kepada tawaran perniagaan yang eksklusif dan berangkaian antara satu sama lain.

Beliau berkata, peserta juga berpeluang untuk memenangi peranti dan hadiah cabutan bertuah yang menarik.

“Maxis juga mempamerkan kisah PKS daripada pelbagai industri, merangkumi makanan dan minuman, runcit dan pertanian, yang telah meraih faedah daripada Geran Digitalisasi SME.

“Sebahagian daripada komuniti UsahaWIRA akan menikmati akses eksklusif kepada bengkel, acara, dan panduan untuk memajukan perniagaan. Mereka juga berpeluang untuk menjalin rangkaian dan belajar antara satu sama lain," jelasnya.

Jelajah pertama UsahaWIRA telah diadakan di Connexion Conference and Event Centre, Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu, diikuti di Hotel Renaissance, Johor Bahru (10 Ogos); Hotel Eastin, Pulau Pinang (17 Ogos) dan Hotel H Elite Design, Kota Bharu (20 Ogos).

Turun padang beri bimbingan

Buyong Hasnol (dua dari kiri) bersama Lee Chin (dua dari kanan) dan Wan Mohd Faiz (kanan) semasa Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA, di Kota Bharu pada Sabtu.
Buyong Hasnol (dua dari kiri) bersama Lee Chin (dua dari kanan) dan Wan Mohd Faiz (kanan) semasa Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA, di Kota Bharu pada Sabtu.



Kekurangan bimbingan dalam penggunaan digital antara faktor masih ramai peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini menggunakan kaedah tradisional dalam memasarkan produk keluaran mereka.

Ketua Pemasaran PKS Maxis Pantai Timur, Buyong Hasnol Ismail berkata, situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan peniaga membuat keputusan menolak pendekatan digital bagi tujuan promosi.

"Ada juga yang mengadu hanya menjual secara kecil-kecilan dan tidak tahu bagaimana untuk mendigitalkan produk.

"Jadi, Maxis turun padang dan menyediakan khidmat bimbingan berterusan dengan geran yang boleh membantu dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka," ujarnya yang juga ahli panel Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA.

Selain Buyong Hasnol, seminar yang dikendalikan oleh Issey Fazlisham itu turut menampilkan dua ahli panel lain iaitu Pengurus Pemasaran Timuran Industri Sdn Bhd, Soo Lee Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tiara Pesona Sdn Bhd, Wan Mohd Faiz Wan Mamat.

Seminar dengan kerjasama Sinar Harian itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Grup Sinar Harian, Farah Hussamuddin; Ketua Peneraju, Penyelesaian, Penasihat dan Penerimaan Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Stanley Lo serta Naib Presiden Pembangunan Usahawan Perniagaan Mikro Perbankan Runcit, Bank Simpanan Nasional, Nor Azam Nor Rahmat.

Beliau berkata, para peniaga PKS disaran mendapatkan pakej pendigitalan yang disediakan oleh Maxis untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Jelasnya, melalui pakej itu Maxis akan berkongsi ilmu berkaitan pemasaran digital yang menjadi platform terbaik ketika ini dalam mengembangkan sesuatu perniagaan.

Beliau yang menjadi panel pada forum bertajuk 'Lima mitos berniaga dalam dunia digital' menjelaskan, peniaga boleh mengupah pakar untuk membina aplikasi pendigitalan.

"Peniaga juga boleh mendapatkan 'Maxis Digital Marketing Starter Kit' dan perkhidmatan sewa beli komputer riba untuk memulakan perniagaan pendigitalan.

"Mereka boleh mendapatkan pakej yang lebih murah dan bergantung kepada jenis perniagaan," ujarnya.

Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA adalah jelajah Maxis di beberapa negeri untuk memberi penerangan lanjut mengenai kebaikan dan transformasi digital bersama rakan niaga Maxis untuk membantu peniaga.

Maxis antara penyumbang utama untuk menyalurkan bantuan digital kepada usahawan di negara ini di samping memberi kesedaran merebut sebanyak RM280 juta geran melibatkan digitalisasi.

REAKSI

Mohd Farid Izzuddin
Mohd Farid Izzuddin



“Platform digital membantu saya meningkatkan perniagaan aplikasi Oda Makan yang sedang diusahakan. Seminar ini sangat bermanfaat kerana kami akan bertukar kepada Oda Ekspres September ini.” - Pemilik Aplikasi Oda Makan, Mohd Farid Izzuddin Ab Ghani, 28.

Raja Muhammad Norfarres
Raja Muhammad Norfarres



“Seminar Inspirasi Digital Maxis Business UsahaWIRA ini membantu saya meningkatkan kefahaman digital dan pendedahan baharu mengenai faedahnya dalam perniagaan,” - Peniaga sambilan produk kesihatan, Raja Muhammad Norfarres Raja Norden, 20.

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus



“Saya melalui saat getir sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini sedang berusaha meningkatkan lagi perniagaan kuetiau yang diusahakan sejak tiga tahun lalu. Usaha Maxis ini memberi manfaat besar kepada kami.” - Peniaga orang kurang upaya (OKU),Mohd Firdaus Mohamed Nor, 39.

“Saya menyertai seminar ini kerana mahu menukarkan perniagaan dropship sambilan sebagai jaminan masa depan. Saya yakin seminar ini berjaya membantu usahawan dan bakal peniaga.”- Peniaga dropship, Anis Azmiera M Bukhari, 28.

Nor Nadilah
Nor Nadilah



“Saya membuat roti dan menjualnya melalui media sosial dengan pendapatan sebulan kira-kira RM3,000. Saya menyertai seminar ini kerana percaya Maxis boleh bantu tingkatkan perniagaan saya.” - Usahawan ECER dalam bakeri, Nor Nadilah Mohktar, 30.