Ada syarikat berminat bina laluan kereta api kargo di Perak

Saarani menyampaikan sumbangan kepada bekas tentera, Rosli Che Dan, 62, sempena program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Taiping di Dewan Ustaz Zaki, Kamunting di sini pada Ahad.
Saarani menyampaikan sumbangan kepada bekas tentera, Rosli Che Dan, 62, sempena program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Taiping di Dewan Ustaz Zaki, Kamunting di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Kerajaan negeri Perak telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat untuk membina laluan kereta api kargo menghubungkan kawasan dari Kanthan, Chemor ke Pelabuhan Lumut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan dibuat syarikat tempatan itu selepas melihat potensi pembangunan industri terutama lokasi strategik di daerah Kinta.

Menurutnya, perbincangan awal mengenai cadangan itu telah dibuat dan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) April lepas untuk peringkat kelulusan.

"Di peringkat Exco kita tiada masalah asalkan tidak membebankan dan di pihak kerajaan negeri, kita punya tanggungjawab untuk tentukan laluan dan gunaan tanahnya untuk tujuan pembinaan itu.

"Jika kerajaan negeri bersetuju, syarikat itu sendiri akan bawa pelaburan dan kita laksanakan secara PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) tanpa guna dana kerajaan pun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Taiping di Dewan Ustaz Zaki, Kamunting di sini pada Ahad.

Saarani menerima cenderahati daripada Ketua Cawangan PVATM Kamunting, Abu Bakar Hasan.
Saarani menerima cenderahati daripada Ketua Cawangan PVATM Kamunting, Abu Bakar Hasan.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak, Leftenan Kolonel (Bersara) Aminuddin Ab Karim dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Azmurin Mat Khalib.

Saarani berkata, tawaran pembinaan landasan kargo itu diyakini dapat memperkasakan industri baru khususnya di Kanthan dan Simpang Pulai kerana memudahkan barangan dagangan dibawa ke Pelabuhan Lumut.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung akan memberi impak positif terhadap pembangunan Pelabuhan Lumut untuk diperluas dan diperhebat ke satu pelabuhan antarabangsa.

"Apabila pelabur-pelabur datang ke Perak, kita kena sediakan industri baru dan prasarana untuk menarik minat mereka.

"Nak hantar produk dihasilkan kilang ke Pelabuhan Lumut, kalau guna jalan raya semua tahu ada banyak lampu isyarat, jadi lebih baik jika gunakan laluan kereta api kargo," katanya.