Penduduk harap kerja pendalaman Sungai Skudai disegerakan

Keadaan di sekitar Kampung Laut Batu 10, Skudai selepas dinaiki air sehingga lebih satu meter akibat banjir kilat pada Sabtu. - Foto Bernama
Keadaan di sekitar Kampung Laut Batu 10, Skudai selepas dinaiki air sehingga lebih satu meter akibat banjir kilat pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, di sini, berharap kerja pendalaman Sungai Skudai dapat disegerakan bagi menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

Zulkifli Mat Ahwan, 43, berkata banjir kilat sering berlaku di kawasan itu sekurang-kurangnya dua kali setahun akibat paras sungai yang meningkat dengan cepat apabila hujan lebat.

Menurut Zulkifli yang tinggal di kampung itu sejak lahir, kejadian semalam misalnya, menyebabkan rumahnya dinaiki air kira-kira dua meter selain barangan elektrik dan sofa rosak namun bernasib baik sempat mengalihkan kenderaan miliknya ke kawasan tinggi.

"Kalau sungai ini didalamkan mungkin kurang sikit (impak) banjir kepada penduduk sekitar.

Seingat saya kali terakhir kerja pendalaman sungai adalah sekitar 90-an.

"Jadi, kalau boleh harap sangat kerja pendalaman sungai dapat dibuat,” katanya yang memiliki dua anak ketika ditemui di rumahnya, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Wahid, 75, yang menetap di kampung itu sejak 70-an pula berkata dia sudah lali dengan kejadian banjir kilat itu.

"Dari tahun 2000 hingga sekarang... tiap tahun banjir, sudah biasa cuma saya harap kalau boleh kerajaan bantu untuk generasi akan datang,” katanya.

Mohamad Ibrahim Sujimun, 27, pula berkata kejadian menyebabkan lantai bilik stor yang menempatkan kesemua barangan yang diselamatkan akibat banjir itu, roboh, selain empat kenderaan milik keluarganya dimasuki air.

"Dua kereta dan dua motosikal, semuanya habis ditenggelami air akibat banjir kilat semalam.

Selain itu, pelbagai dokumen dan barangan rumah musnah,” katanya dan menambah sebahagian struktur rumahnya turut musnah.

Hujan lebat selama dua jam bermula kira-kira 3 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya 10 malam tadi.

Setakat 12 tengah hari Ahad, mangsa banjir kilat di daerah ini berkurangan kepada 76 orang berbanding 86 orang 8 pagi tadi dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan penduduk dari Kampung Laut Batu 10, Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau, dan Kampung Kenangan, di sini. - Bernama