76 mangsa banjir di Johor Bahru ditempatkan di dua PPS

Anggota APM membantu penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor Bahru, termasuk memindahkan mereka ke PPS di Dewan Kampung Melayu Batu 10.
Anggota APM membantu penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor Bahru, termasuk memindahkan mereka ke PPS di Dewan Kampung Melayu Batu 10.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementera (PPS) di negeri ini menurun kepada 76 orang daripada 25 keluarga, setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah mangsa banjir itu berbeza dengan 86 orang daripada 29 keluarga pada jam 8 pagi Ahad.

Jelas APM, pecahan mangsa banjir itu melibatkan 34 orang dari Kampung Laut Batu 10, Skudai manakala 42 orang lagi dari Kampung Pasir, Kampung Kangar dan Kampung Kenangan yang semuanya di Tebrau.

"Dua PPS yang dibuka sejak jam 7 petang dan 8 malam tadi ialah di Dewan Kampung Melayu Batu 10 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara.

"Banjir kilat di daerah ini berlaku selepas hujan lebat melebihi dua jam kira-kira pada jam 3 petang semalam telah menyebabkan beberapa buah rumah telah dinaiki air," demikian menurut kenyataan itu pada Ahad.

Menurut APM Johor lagi, perkembangan cuaca pada Ahad membuatkan ada keluarga yang dibenarkan pulang selain menerima kemasukan mangsa banjir yang baharu.

APM Johor memberitahu, seramai sembilan mangsa dari tiga keluarga telah mendaftar keluar dari PPS Dewan Kampung Melayu Batu 10 pada jam 9 pagi Ahad.

Tambahnya, satu mangsa daripada sebuah keluarga telah mendaftar keluar dari PPS SK Bukit Mutiara pada jam 9.15 pagi.