Bajet 2023 perkasa e-dagang luar bandar

Mohd Shahar (kiri) mengacau bubur asyura ketika merasmikan Program Merdeka @Komuniti di Sekolah Kebangsaan Kadok pada Ahad.
Mohd Shahar (kiri) mengacau bubur asyura ketika merasmikan Program Merdeka @Komuniti di Sekolah Kebangsaan Kadok pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sektor e-dagang di luar bandar akan diperkasakan melalui Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pendapatan e-dagang meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM288.2 bilion pada suku kedua 2022 berbanding RM267.2bilion pada tempoh sama didorong terutama oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, kerajaan juga berhasrat memastikan input ekonomi digital luar bandar dapat diperkasakan.

"Saiz pasaran e-dagang juga dijangka lebih besar iaitu sebanyak RM1.65 trilion menjelang 2025.

"Justeru, persediaan perlu dilakukan dalam Bajet 2023 dengan memasukkan inisiatif yang boleh memperkasakan pendigitalan di luar bandar," katanya selepas Program Merdeka @Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Kadok pada Ahad.

Hadir sama, Guru Besar SK Kadok, Roynun Setapa.

Selain itu katanya, sebanyak RM1.09 trilion pendapatan transaksi e-dagang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan jumlah itu meningkat sebanyak 21.8 peratus berbanding RM896.4 bilion tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah keseluruhan bajet dalam sektor itu akan dipertimbangkan selepas selesai sesi libat urus di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, Bajet 2023 yang dijangka berhadapan cabaran ekonomi turut melihat konteks subsidi kepenggunaan serta langkah drastik yang perlu dilakukan untuk memulihkan semula ekonomi.

"Jadi, kesemua golongan tidak ketinggalan mendapat manfaat termasuk kaum minoriti," katanya.

Mohd Shahar sebelum itu mengadakan sesi dialog bersama guru dan penduduk mengenai masalah kewangan dan infrastruktur setempat.