'Siapa PM jika BN menang PRU15'- Rafizi

Rafizi berucap pada pelancaran Trak Ayuh Malaysia pada Sabtu.
Rafizi berucap pada pelancaran Trak Ayuh Malaysia pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), siapa akan jadi Perdana Menteri? soal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli ketika berucap pada Majlis Pelancaran Trak Ayuh Malaysia di Wangsa Maju pada Sabtu.

Rafizi berkata, BN khususnya UMNO sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir dan skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kini dijadikan bahan untuk menyerang sesama sendiri.

Menurut beliau, LCS berlaku di bawah pemerintahan BN ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan pada 2009 hingga Mei 2013 sebelum jawatan itu diambil alih Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Mei 2013 hingga 10 Mei 2018.

"Dulu berlagak tanya siapa PM jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU, sekarang kita mahu tanya semula, siapa calon PM BN?

"Najib masih mahu jadi PM, beliau yakin masih boleh jadi PM, Zahid pun mahu.. habis PM sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob takkan tidak mahu? katanya.

Hadir sama pada pelancaran Trak Ayuh Malaysia adalah dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Trak Ayuh Malaysia menjadi platform PKR untuk menjelajah setiap Parlimen dan negeri untuk siri penerangan kepada rakyat sebagai persiapan PRU15.

Rafizi berkata, jika PH diberikan mandat sekali lagi memimpin kerajaan, beliau meminta gabungan tersebut tidak mengulangi kesilapan dilakukan selepas menang PRU14.

Dari kiri: Rafizi, Nurul Izzah dan Nik Nazmi melancarkan Trak Ayuh Malaysia pada Sabtu.
Dari kiri: Rafizi, Nurul Izzah dan Nik Nazmi melancarkan Trak Ayuh Malaysia pada Sabtu.

Menurut beliau, ketika ini rakyat tidak sepenuhnya memihak kepada BN sementara PH mengambil pendirian defensif.

"Justeru, kita perlukan dua atau tiga bulan lagi untuk yakinkan rakyat. Jika Oktober atau November ini Ismail Sabri umum PRU, Insya-ALLAH kita akan bersedia.

"Kalau tak lakukan sesuatu, lagi banyak skandal akan keluar dalam lima tahun akan datang," katanya.