Malaysia terus tegas suarakan mesej kedamaian

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus tegas membawa suara kedamaian di persada antarabangsa meskipun kadangkala pandangannya agak lantang dan berbeza berbanding negara lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini termasuk tindakan beliau menyuarakan pendirian Malaysia mengenai pembelaan terhadap rakyat Palestin kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden semasa lawatannya ke negara itu pada Mei lepas.

"Walaupun kita tahu Amerika punya standard tentang Palestin tetapi itu tidak menyebabkan Malaysia tidak berani untuk menyuarakan pendirian tentang kekejaman Israel, mengutuk kekejaman Israel, di bumi Amerika,” katanya dalam sesi temu bual Inspirasi Setahun Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Perdana Menteri ditanya peranan beliau membawa suara negara khususnya dalam memberi penegasan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia mahukan keadilan untuk semua dan mahukan yang terbaik untuk manusia sejagat.

Mengulas konflik Rusia dan Ukraine pula, Ismail Sabri berkata, Malaysia berpandangan ia perlu diselesaikan melalui meja rundingan.

"Walaupun kita tidak bersetuju Rusia tidak ada hak untuk menyerang negara lain tetapi kita lebih menekankan tentang perlunya kedua-dua negara dibawa ke meja rundingan untuk mendamaikan perang antara kedua belah pihak," katanya.

Beliau berkata, ini kerana kesan konflik itu bukan sahaja dirasai oleh rakyat Ukraine tetapi turut memberi impak kepada negara lain yang tidak terlibat.

Katanya, antara kesan konflik Rusia-Ukraine ialah bekalan barangan tertentu berkurangan, peningkatan inflasi dan harga barangan. - Bernama