Eksport ayam: Kerajaan perlukan satu atau dua bulan lagi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memerlukan masa satu atau dua bulan lagi sebelum membuat keputusan untuk menarik balik sekatan eksport ayam ke luar negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tempoh itu diperlukan bagi memastikan bekalan ayam untuk keperluan negara benar-benar mencukupi dan harganya stabil walaupun ketika ini dilaporkan terdapat lebihan bekalan produk tersebut.

"Kita dah berbincang di kabinet tapi kita tak boleh buat keputusan lagi sebab ayam sekarang ini masih disubsidi.

"Kita akan tunggu lagi selepas satu dua bulan, kita lihat apabila subsidi ini tamat pada 31 Ogos, kalau bekalan masih banyak, harga kurang maka kita mungkin boleh lepaskan (benarkan eksport), kita tak mahu nanti kesannya tak cukup lagi dalam negara dan harga naik,” katanya dalam sesi temu bual Inspirasi Setahun Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengambil langkah intervensi menyekat pengeksportan ayam mulai 1 Jun lepas setelah berlaku kekurangan bekalan yang menyebabkan harga produk itu naik.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat lambakan bekalan dalam negara menyebabkan penternak menggesa kerajaan menarik semula sekatan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan kerajaan, Ismail Sabri berkata ia tidak hanya memfokus kepada isu kenaikan harga barangan tertentu malah peranannya turut diperluas bagi menangani isu inflasi secara keseluruhan.

"’Jika (pada) mulanya kita hanya libatkan beberapa kementerian berkaitan sahaja, tetapi (apabila) menyedari kita perlukan jawatankuasa lebih besar untuk menangani pelbagai isu, kita juga libatkan Kementerian Kewangan dan EPU (Unit Perancang Ekonomi).

"Jadi ia menyeluruh kepada semua sekali. Apa-apa intervensi kerajaan diputuskan dalam jawatankuasa menangani inflasi ini,” katanya.

Beliau berkata, antara impak penubuhan pasukan itu ialah pelaksanaan intervensi bagi menyelesaikan isu kenaikan harga ayam dan telur melalui pemberian subsidi.

Katanya, bagi memastikan segala maklumat mengenai keputusan dan langkah yang diambil kerajaan sampai kepada rakyat secara berkesan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut dilibatkan dalam pasukan itu. - Bernama