Kelantan tidak boleh cicir mata di Kota Bharu

Kelantan FC perlu meraih mata penuh dalam pertemuan menentang Terengganu FC II di halaman sendiri pada Ahad. - FOTO TRW Kelantan FC
Kelantan FC perlu meraih mata penuh dalam pertemuan menentang Terengganu FC II di halaman sendiri pada Ahad. - FOTO TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC tidak boleh tercicir mata ketika melayan kunjungan Terengganu FC II pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Ahad.

Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, The Red Warriors (TRW) akan turun dengan misi meraih tiga mata penuh untuk memastikan kedudukan di tangga teratas liga terus kekal milik kelab Pantai Timur itu.

"Kita perlu berhati-hati dengan corak permainan Terengganu FC II yang ketika ini berada di kedudukan ketiga liga.

"Terengganu FC II mempunyai kekuatan tersendiri kerana dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti, kita tidak boleh melakukan kesilapan pada perlawanan petang esok," katanya.

Kelantan FC mendahului Liga Premier dengan mengumpul 35 mata hasil 11 kemenangan, dua seri dan dua kekalahan selepas mengharungi 15 perlawanan.

Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata, berada di kedudukan teratas liga belum boleh dikira selamat kerana pasukan itu hanya dibezakan lima mata dengan pasukan di tangga kedua, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

"Pasukan selatan tanah air itu juga memiliki kelebihan kurang satu perlawanan, jika kalah esok JDT II boleh merampas kedudukan kita.

"Kita belum berada dalam zon selesa untuk bergelar juara, jadi saya mahu pemain terus memberi tumpuan dengan mengikut perancangan dan arahan yang ditetapkan," katanya. - Bernama