Bincang peniaga menjaja di simpang lampu isyarat

Mohd Nurkhuzaini
Mohd Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengambil keputusan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan isu peniaga menjaja di persimpangan lampu isyarat yang dilihat semakin rancak umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jawatankuasa itu dianggotai pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia bahagian trafik.

Menurutnya, perkembangan peniaga menjaja di persimpangan memerlukan satu garis panduan khusus sebagai rujukan dan jawatankuasa khas itu akan membincangkan perkara itu termasuk membuat satu dasar apa yang boleh dan tidak boleh penjaja lakukan.

“Kita tengok sekarang hampir keseluruhan simpang di Terengganu ada penjaja jadi kita akan buat satu dasar supaya kalau ada permasalahan boleh kita ambil jalan penyelesaian terutama melibatkan isu keselamatan.

“Saya melihat anak muda menjual di persimpangan jalan ini sebagai satu kreativiti dan maklumat kita dapat selepas jumpa dengan pengusaha, pendapatan yang mereka perolehi jauh lebih baik dari duduk di dalam kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai isu peniaga jalanan di persimpangan lampu isyarat yang dilihat semakin rancak pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Nawi berkaitan program peniagaan baharu bagi golongan muda negeri ini yang dilaksanakan kerajaan negeri, Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri meluluskan program Usahawan Belia Sejahtera (U-Best) dalam Bajet 2019.

Melalui program itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk melahirkan kira-kira 150 usahawan belia setahun.

Artikel Berkaitan:

“Pengambilan sesi pertama seramai 40 orang yang akan bermula pada April ini di mana fokus utama program ini adalah kepada latihan keusahawanan dan bantuan untuk belia yang akan menjalankan aktiviti perniagaan atas talian,” katanya.