Kegiatan lumba haram di Pulau Pinang turun mendadak

Fisol
Fisol
A
A
A

BALIK PULAU - Peratusan kegiatan lumba haram melibatkan mat rempit di Pulau Pinang turun mendadak selepas polis melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh susulan kejadian yang meragut lima nyawa penunggang motosikal pada 17 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, penumpuan di lokasi hot spot juga antara faktor penurunan peratusan tersebut.

Katanya, sejak kejadian tersebut, tiada kegiatan lumba haram dikesan di lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi kegemaran mat rempit untuk berlumba.

"Daripada tindakan yang diambil di seluruh Pulau Pinang, pemantauan sejak tiga minggu lalu sehingga semalam (Jumaat), kita mendapati peratusan kegiatan lumba haram melibatkan mat rempit sangat kurang, malah tiada aktiviti lumba haram dikesan selepas berlaku kemalangan yang meragut lima nyawa pada Julai lalu.

"Di Pulau Pinang, kita ada 13 lokasi hot spot yang menjadi tumpuan mat rempit, termasuk Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) namun sejak tiga minggu lalu, tiada aktiviti (lumba haram) dikesan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada Sabtu.

Fisol berkata, polis dan agensi serta jabatan penguat kuasa lain akan terus menjalankan penguatkuasaan di semua lokasi tersebut bagi memastikan tiada lagi kegiatan lumba haram di negeri ini.

"Kita akan menjalankan penguatkuasaan dari semua sudut termasuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa sekiranya yang ditahan itu adalah remaja di bawah 18 tahun. Langkah-langkah proaktif ini akan dijalankan secara berterusan.

"Polis memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa dalam usaha membendung kegiatan lumba haram ini. Dengan cara ini, kita pasti ia akan lebih berkesan kerana punca kepada kegiatan ini adalah bermula daripada rumah.

"Institusi kekeluargaan itu sangat penting. Ibu bapa perlu memantau kegiatan anak-anak mereka sekiranya tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Mereka yang maut ialah Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, dari Bayan Lepas, Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dari Pendang, Kedah, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dari Bayan Lepas, Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, dari Georgetown dan Mohd Haziq Harris, 34, dari Bayan Lepas.

Sementara yang parah adalah Muhammad Rahimi Shukor, 19, dari Ayer Itam yang mengalami kecederaan di muka dan kepala serta Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 yang berasal dari Pendang, Kedah yang mengalami kecederaan di tangan, kaki serta muka.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.