Polis tahan empat lelaki dipercayai ah long, seludup rokok

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan rokok seludup dan pinjaman wang tidak berlesen (ah long) di negeri ini, kata Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan.

Belia berkata, keempat-empat lelaki berasal dari Selangor itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Kuala Terengganu pada jam 5.30 petang, Rabu lepas.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai lebih RM86,000 dan 600 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM34,200 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu kira-kira jam 11 pagi Jumaat dan turut menemui 26 karton rokok.

"Keempat-empat suspek yang berusia antara 26 hingga 34 tahun direman selama empat hari bermula 18 Ogos lepas," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Wan Rukman berkata, suspek mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang sejak awal Mei lalu dan menjadikan peniaga kecil sebagai sasaran bagi menawarkan pinjaman dan siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 26 tahun memiliki empat rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan rumah judi terbuka dan pemberi pinjaman wang.

"Suspek disiasat mengikut dua seksyen iaitu pertama Seksyen 52 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Jika sabit kesalahan hukuman denda tak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Bernama