Chong Wei kecewa tak dapat sertai Terbuka Malaysia 2019

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei hari ini menyuarakan kekecewaannya kerana tidak dapat bertanding dalam Kejohanan Terbuka Malaysia tahun ini.

Chong Wei, juara Terbuka Malaysia 12 kali berkata kejohanan itu bukan sahaja mengembalikan semula banyak memori indah, tapi turut menjadi impian semua yang bertanding untuk merebut gelaran juara.

“Amat sedih, saya tidak dapat mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia 2019, tapi saya harap semua peminat badminton negara dapat datang bersama untuk memberi sokongan dan sorakan kepada pemain-pemain negara.

“Saya sendiri akan berada di sana hujung minggu ini, sebagai pemerhati tahun ini. Jumpa anda di sana,” kata beliau menerusi instagram @leechongweiofficial hari ini.

Peminat sukan badminton Malaysian terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan Chong Wei kembali beraksi selepas pemain badminton itu mengesahkan keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia tahun ini walaupun proses pemulihan daripada kecederaannya sedang berjalan dengan baik.

Doktornya menasihatkan beliau untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan Peringkat 3 Persekutuan Badminton Dunia, supaya tubuh badannya tidak berhadapan dengan sebarang tekanan buat sementara waktu.

Chong Wei, yang mengelak sebarang kejohanan selama lapan bulan selepas menjalani rawatan bagi kanser hidung peringkat awal di Taiwan, pernah memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia dari 2004 sehingga 2006; 2008 sehingga 2014; dan juga pada tahun 2016 dan 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: