Tak sedar dirakam CCTV, pencuri duit tabung masjid dikesan

Wajah suspek tular selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Khamis.
Wajah suspek tular selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular memecah masuk dan mencuri wang dari tabung derma Masjid Nahdhas, Seksyen 18, di sini, pada Khamis apabila perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang ahli jawatan kuasa (AJK) masjid terbabit selepas membuat semakan rakaman video CCTV sekitar jam 11.55 pagi.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kelibat seorang lelaki disyaki warga tempatan telah mengambil wang dalam tabung masjid terbabit sekitar jam 4.18 pagi hingga jam 4.30 pagi dengan menggunakan pembaris besi.

"Masjid terbabit berpagar dan berkunci serta tiada pengawal keselamatan yang bertugas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal berkata, empat daripada lapan CCTV yang dipasang di masjid terbabit berjaya merakam tindakan suspek sewaktu kejadian.

"CCTV telah merakam tindakan pencuri terbabit yang memasuki kawasan masjid dengan berjalan kaki dan disyaki masuk ke kawasan masjid dengan memanjat tembok di bahagian belakang masjid," katanya.

Kejadian terbabit turut tular selepas rakaman CCTV memaparkan wajah suspek yang memakai seluar panjang dan baju berwarna hitam dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 389 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Sebarang maklumat berkenaan bolehlah disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Anis Shafinas di talian 017-294453," ujarnya.