Ladang strawberi tarikan baharu di Gunung Jerai

Sebanyak 4,000 pokok strawberi ditanam di Jerai Hill Farm Strawberry di Gunung Jerai. Gambar kecil: Bekas guru, Rushidi membuka ladang strawberi di puncak Gunung Jerai
Sebanyak 4,000 pokok strawberi ditanam di Jerai Hill Farm Strawberry di Gunung Jerai. Gambar kecil: Bekas guru, Rushidi membuka ladang strawberi di puncak Gunung Jerai
A
A
A

YAN – Seorang guru sanggup melepaskan kerjayanya kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan dengan mengusahakan Jerai Hill Strawberry Farm di puncak Gunung Jerai, dekat sini.

Rushidi Md Nor, 49, berkata, percubaannya membuahkan hasil apabila ladang strawberi yang dibangunkan sejak 2019 semakin dikenali pengunjung khususnya di utara Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, dia mendapat idea untuk membangunkan ladang strawberi berkenaan di sebidang tanah berhampiran Jerai Hill Resort selepas melawati Gunung Jerai beberapa tahun lalu.

“Semasa lawatan, saya dapati ketika itu belum ada produk pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pelancong naik ke puncak gunung.

“Jadi, saya sanggup mengeluarkan modal sebanyak RM300,000 untuk membuka ladang strawberi di Gunung Jerai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Bekas guru sekolah rendah itu berkata, sehingga kini, sebanyak 4,000 pokok strawberi daripada pelbagai jenis seperti Festival, Monterey dan Royal Berry telah ditanam di ladang strawberi tersebut.

“Tidak ketinggalan, kami juga menanam strawberi jenis Pineberry yang unik dengan memiliki warna putih dan rasa seperti campuran nanas dan strawberi,” jelasnya.

Rushidi menerangkan, buat masa kini, kira-kira 16 kilogram (kg) buah strawberi yang dituai mereka setiap hari di ladang strawberi yang dibina secara bertingkat.

“Kebiasaannya, pokok strawberi ditanam di puncak Gunung Jerai ini akan berbuah lebat antara November hingga Januari, namun pengunjung berpeluang menikmati produk berasaskan strawberi termasuklah 'scone' strawberi dan aiskrim pada bila-bila masa,” katanya.

Dia memaklumkan, kesemua produk berasaskan strawberi dijual antara RM4 hingga RM20 itu dihasilkan sendiri di Jerai Hill Farm Strawberi.

Tambahnya, ladang strawberinya turut dilengkapi dengan pelantar yang membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan lautan dan jelapang padi dari puncak Gunung Jerai.

“Sambil menjamah 'scone' atau aiskrim di pelantar, pengunjung boleh menikmati panorama indah sambal menikmati udara segar dari puncak Gunung Jerai,” katanya.

Bercerita lanjut, dia mengakui agak bimbang dengan sambutan pengunjung sebelum ini memandangkan turut terkesan teruk selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan runtuhan tanah di Gunung Jerai.

“Bagaimanapun, sambutan pengunjung kini amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu apabila ramai pengunjung tertarik untuk naik ke ladang strawberi di puncak gunung ini,” katanya.

Jelasnya, pengunjung tidak dikenakan bayaran dan boleh masuk secara percuma ke ladang strawberi yang dibuka antara jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Pengunjung boleh masuk secara percuma ke Jerai Hill Farm Strawberry
Pengunjung boleh masuk secara percuma ke Jerai Hill Farm Strawberry

Menurutnya, selain ladang strawberi dan produk hiliran berasaskan strawberi, Jerai Hill Farm Strawberry turut mendapatkan benih strawberri dari Mesir sebagai rakan strategik mereka.

“Buat masa ini, ladang ini masih kecil namun kami merancang untuk membesarkan kawasan ladang hingga mampu memuatkan 50,000 pokok strawberi dengan jangkaan hasil tuaian 100 kg sehari.

"Kami turut bercadang untuk menanam tanaman lain seperti anggur dan avokado di sini untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di Kedah," ujarnya.