Pengarah, adik dijel tiga tahun, denda RM807,475

Komplek Mahkamah Butterworth
Komplek Mahkamah Butterworth
A
A
A
BUTTERWORTH - Seorang pengarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan adik kandungnya dipenjara tiga tahun dan didenda RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini selepas didapati bersalah di atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa yang dilakukan 10 tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Profesor Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal Mohamed, 50, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua beradik itu dipenjara antara sebulan hingga enam bulan mengikut pertuduhan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan pembelaan diwakili peguam, Shamsul Sulaiman masing-masing mengemukakan hujah dan rayuan.

Pada Oktober 2018, Badaruddin yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya, MK Urusniaga (M) Sdn Bhd membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempat dia bekerja.

Ia membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM antara September 2011 hingga November 2012.

Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 manakala Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Mahkamah membenarkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh ditangguhkan dengan tambahan jaminan RM8,000 setiap seorang selepas peguam mereka mengemukakan rayaun bagi menfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan selesai.