Tiada arahan batalkan ceramah Dr Afandi, kata Exco

MOHD NOR
MOHD NOR
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menafikan menerima arahan daripada mana-mana pihak untuk membatalkan ceramah Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh sempena program Sejuta Doa Buat al-Aqsa yang dijadualkan berlangsung di Masjid Bukit Besar, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Noor Hamzah berkata, sekiranya ceramah itu dibatalkan, ia perlu melalui prosedur secara rasmi dan bukan hanya melalui panggilan telefon.

“Kita tidak menerima arahan daripada sesiapa untuk membatalkan ceramah beliau. Sekiranya ia dibatalkan mesti ada surat secara rasmi sebab jemputan untuk datang berceramah pun dibuat secara rasmi.

“Kalau ya batal, mana surat pembatalan dan siapa pegawai yang menelefon mengatakan ceramah beliau dibatalkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengakui pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara itu, Mohd Noor berkata, isu berkenaan tidak boleh diambil dipandang remeh.

“Perkara begini tak boleh buat main-main, kalau betul batal, mesti secara rasmi. Saya nampak ada poster beliau (Mohd Afandi) bersama ADUN Ladang (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar) yang ditularkan sempena program itu.

“Saya tak pasti hal yang sebenar, tapi bagi saya, kalau batal, perlu ada penjelasan secara rasmi sebab beliau dijemput secara rasmi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bahawa beliau menggantikan tempat Dr Afandi bagi memberikan ceramah, katanya, beliau hadir bagi program sama namun di peringkat negeri yang diadakan di Masjid Abidin.

Artikel Berkaitan:

“Memang saya hadir untuk ceramah dalam program yang sama, tetapi di peringkat negeri. Program Prof Madya Dr Mohd Afandi di Masjid Sultan Muhammad, di Bukit Besar, Kuala Terengganu bersama ADUN Ladang,” katanya.