Ismail Sabri perkukuh mesej Keluarga Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangannya kepada pelajar sekolah ketika lawatan kerjanya di Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangannya kepada pelajar sekolah ketika lawatan kerjanya di Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh 20 Ogos 2021, menjadi detik bersejarah buat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ahli Parlimen Bera itu dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Kesembilan (PM-9) selepas mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada tarikh berkenaan.

Sepanjang setahun beliau mengetuai kerajaan campuran ‘Keluarga Malaysia’, pelbagai inisiatif disalurkan kepada rakyat sekali gus membuktikan kemampuan dan kejayaan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri.

Beliau berjaya membawa Malaysia keluar daripada krisis kesihatan akibat penularan Covid-19, sekali gus membolehkan negara memasuki fasa endemik dan pemulihan ekonomi serta pembukaan semula pintu sempadan negara, mulai 1 April lalu.

Pembukaan pintu sempadan itu bukan hanya membolehkan rakyat Malaysia berada di luar negara terutama Singapura dan Thailand kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, malah merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik serta menggalakkan kemasukan pelabur asing ke negara ini.

Fasa peralihan ke endemik mulai 1 April itu juga membolehkan rakyat Malaysia kembali menjalani kehidupan yang hampir normal dengan semua sektor ekonomi termasuk pelancongan beroperasi seperti biasa.

Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh beliau pula bertujuan memperkukuhkan hubungan dan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Beliau menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinannya untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19. Tiga teras utama itu ialah Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment).

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Kita sedar kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Anda ibarat keluarga saya sendiri. Kita saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” ujar Ismail Sabri dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Fahami denyut nadi rakyat

Perdana Menteri mengetepikan segala protokol ketika melakukan lawatan kerja pertamanya ke daerah Merbok dan Yan di Kedah yang terjejas teruk akibat kejadian banjir dan kepala air, pada 18 Ogos tahun lalu.

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI

Dalam rangka lawatan kerja itu, beliau mengumumkan bantuan kecemasan berjumlah RM75 juta kepada Kedah bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan asas yang rosak dalam kejadian banjir.

Jelasnya, RM50 juta daripada peruntukan itu disalurkan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos sebanyak RM5 juta.

Peruntukan itu juga melibatkan pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) dan pembaikan kemudahan pelancongan desa serta baik pulih bekalan air.

Bantuan sebanyak RM500 turut disalurkan kepada setiap keluarga mangsa sementara RM5,000 pula diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian itu.

Menyedari masih ramai rakyat terkesan akibat Covid-19 dan krisis ekonomi global, beliau mengumumkan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) melibatkan dana berjumlah RM3.1 bilion yang disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat pada September tahun lalu.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Ia turut melibatkan golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Golongan peniaga turut diberi perhatian menerusi bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebanyak RM500 juta kepada lebih satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang disalurkan bermula 21 September 2021.

Perjanjian dengan PH

Bagi memastikan Kerajaan Keluarga Malaysia terus kekal stabil dan tidak boleh dijatuhkan menerusi pintu belakang berikutan tindakan ahli Parlimen lompat parti, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan satu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH) diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perjanjian itu antaranya memberi peruntukan tahunan sama banyak kepada ahli Parlimen penyokong kerajaan mahu pun PH dan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentangkan di Parlimen pada 27 Julai lalu, dapat dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut menandatangani perjanjian pembentukan kerajaan campuran dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan beliau terus menjadi Perdana Menteri sehingga Dewan Rakyat dibubarkan.