Pekerja ladang langgar polis didenda

A
A

PETALING JAYA - Padah melanggar polis dengan kereta tahun lalu, seorang pekerja ladang didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sofi Abd Rahman, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, mahkamah memerintahkannya dia menjalani hukuman penjara enam bulan.

Mohd Sofi, 30, mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang anggota polis, Abdul Rahim Abdul Rahman, dari melakukan tugasnya dengan cara melanggar mangsa menggunakan Perodua Myvi.

Kesalahan itu dilakukannya di Jalan Besar, Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, di sini, jam 1 tengah hari, pada 15 Ogos tahun lalu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohamad Soubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar memberi pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan adalah serius.