Pagar elektrik, penggera amaran atasi ancaman gajah

Mohd Akmal (kanan) melihat ruang pameran sempena Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.
Mohd Akmal (kanan) melihat ruang pameran sempena Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pagar elektrik dan penggera amaran bagi menyelesaikan konflik manusia dan gajah di beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, cadangan bagi memasang Sistem Pagar Elektrik sepanjang 14 kilometer (km) di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik menelan kos hampir RM1 juta.

Menurutnya, setakat ini sistem berkenaan telah pun dipasang di Sekolah Kebangsaan RPS Kemar, Gerik dan ia berkesan menghalang gajah masuk ke dalam kawasan sekolah tersebut.

"Saya dah bawa cadangan ini kepada menteri besar dan berbincang dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kita nampak antara penyelesaiannya adalah untuk mengkaji kesesuaian untuk pemasangan pagar sejauh 14km di Pos Kemar.

"Setakat ini pagar tersebut telah dipasang di sekolah berkenaan tetapi masalah yang berlaku siapa nak menyelenggara sama ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau Orang Asli di kampung tersebut tubuh jawatankuasa untuk menyelenggara pagar elektrik ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, pihaknya ke Johor dan Thailand bagi melihat sistem penggera yang digunakan untuk mengelak gangguan gajah.

Menurutnya, jika ia terbukti berkesan, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk memasang sistem penggera tersebut di lokasi-lokasi yang ada konflik gajah dan manusia.

"Dalam masa terdekat saya akan ke Johor kerana ada satu tempat perkampungan dipasang satu penggera yang berbunyi berbeza-beza menyebabkan gajah melencong ke tempat lain. Jadi penggera itu saya nak tengok di Johor kerana itu arahan menteri besar untuk tengok.

"Jika sesuai, kita akan usaha memasang di setiap tempat yang gajah mengganggu penduduk. Kerajaan negeri akan beli," katanya.

Jelasnya, di Thailand juga terdapat pasar raya khas yang diwujudkan khusus untuk gajah mendapatkan makanan bagi mengelak haiwan liar masuk ke kawasan penempatan penduduk.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk melawat kawasan tersebut bagi melihat keberkesanan inisiatif berkenaan.

Sinar Harian pada 1 Ogos lalu melaporkan seorang wanita Orang Asli parah selepas diserang gajah liar di Kampung Katong, RPS Kemar, Gerik.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang, wanita berusia 30 tahun itu dikatakan tidak menyedari kehadiran mamalia terbabit ketika dia sedang mencari durian di belakang rumahnya.

Pada Khamis, Sinar Harian turut melaporkan lebih 140 penduduk Orang Asli di Satut, Pos Perwor hidup dalam ketakutan apabila perkampungan mereka diceroboh gajah liar pada awal pagi Ahad lalu.

Kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu menyebabkan empat rumah rosak manakala tanaman pisang musnah akibat serangan gajah yang menceroboh untuk mencari makanan.