Lapan gajah dikesan sekitar Pos Perwor: Perhilitan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya mengesan lapan gajah di sekitar Pos Perwor di Sungai Siput.

Difahamkan, pengecilan habitat hidupan liar tersebut menjadi faktor utama tercetusnya konflik gajah dan manusia di kawasan itu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pemantauan oleh kakitangan Perhilitan dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) dilakukan selepas menerima aduan penduduk Orang Asli tersebut.

Menurutnya, kumpulan haiwan yang mengganggu penduduk itu dipercayai gajah yang terdapat di Hutan Simpan Piah.

"Kakitangan Perhilitan telah bertindak dengan melaksanakan kawalan di perkampungan itu dan kawasan sekitarnya selepas menerima laporan kejadian itu pada Ahad.

"Kawalan diteruskan hingga kini dengan menghalau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai usaha menangkap haiwan itu, Yusoff berkata, proses pemindahan gajah tidak dapat mengatasi masalah itu sepenuhnya.

"Haiwan liar ini sentiasa bergerak jadi pencerobohan ke kawasan kampung akan berlaku lagi. Pemindahan ini mengurangkan sahaja.

"Penduduk bagaimanapun dinasihatkan agar tidak bergerak sendirian ketika memasuki hutan dan menjauhkan diri sekiranya terserempak dengan haiwan itu," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk segera membuat aduan kepada Jabatan Perhilitan Perak untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian melaporkan lebih 140 penduduk Orang Asli di Kampung Satut, Pos Perwor hidup dalam ketakutan apabila perkampungan mereka diceroboh gajah liar pada Ahad.

Kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu menyebabkan empat rumah rosak manakala tanaman pisang musnah akibat serangan gajah yang menceroboh untuk mencari makanan.