iDAM dilancar, fasa pertama libatkan 101 PBT di Semenanjung

Reezal Merican (tengah) melancarkan iDAM yang dibangunkan KPKT melalui PLANMalaysia di Putrajaya pada Khamis. - Foto Facebook Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican (tengah) melancarkan iDAM yang dibangunkan KPKT melalui PLANMalaysia di Putrajaya pada Khamis. - Foto Facebook Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM), yang mengukur tahap daya huni di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat, dilancarkan pada Khamis dengan fasa pertama pelaksanaannya melibatkan 101 PBT di Semenanjung Malaysia yang telah menggunakan sistem MurniNet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelaksanaan iDAM di Sabah dan Sarawak akan mengambil sedikit masa kerana dua negeri tersebut tidak menggunakan sistem MurniNet sepenuhnya.

"Kita jangka pengukuran iDAM bermula di Sabah akhir tahun ini manakala di Sarawak pada 2023,” katanya pada sidang media selepas melancarkan iDAM yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di sini pada Khamis.

Reezal Merican berkata, iDAM menjadi antara indikator penting dalam perkembangan dan pembangunan ekonomi sesebuah kawasan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk peringkat kawasan PBT.

"Pengukuran iDAM yang bersifat dinamik akan menjadi persaingan sihat kepada semua pihak berkepentingan untuk memastikan setiap kawasan PBT meningkatkan tahap daya huni masing-masing.

"Lebih daripada itu, iDAM akan menjadi penanda aras untuk kita memastikan keperluan dan perkhidmatan untuk Keluarga Malaysia dapat dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Reezal Merican berkata, daya huni bermaksud kawasan atau penempatan itu berupaya memenuhi keperluan kehidupan dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keperluan asas, infrastruktur, persekitaran hijau yang bersifat lestari dan kalis masa depan.

Beliau berkata, kerangka pengukuran iDAM dalam fasa pertama hanya menggunakan 23 indikator dan akan diperkukuh hingga 45 indikator yang akan dikenal pasti dalam fasa seterusnya.

Tambahnya, kerangka iDAM adalah berasaskan kepada enam kriteria utama iaitu ekonomi makmur dan berdaya saing, kualiti persekitaran mampan dan selamat, komuniti sejahtera, guna tanah dan penggunaan sumber yang berkesan, infrastruktur asas berkualiti dan tadbir urus bandar yang efisien.

Menurutnya, iDAM juga akan membantu meningkatkan penarafan Malaysia dalam Global Liveability Index yang sekali gus mampu menarik pelabur dan ekspatriat menghantar anak-anak belajar di Malaysia.

Beliau berkata, iDAM akan meletakkan Malaysia di pentas dunia seiring dengan negara luar yang mempraktikkan pengukuran dan penilaian kesejahteraan penduduk di sesebuah bandar seperti Economist Intelligence Unit (EIU) di United Kingdom, Mercer di Amerika Syarikat dan Monocle di Eropah.

Pada majlis itu, 10 PBT menerima anugerah bandar berdaya huni tahap tertinggi antaranya Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dinobatkan sebagai penerima anugerah Khas Bandar Global Berdaya Huni Tahap Tinggi. - Bernama