Pusat hemodialisis tidak cukup tampung pesakit

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jumlah 25 pusat hemodialisis yang ada di seluruh Terengganu tidak cukup bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang yang perlu menjalani hemodialisis pada setiap minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sehingga kini terdapat 2066 pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis direkodkan di Terengganu.

Jumlah itu menurutnya merangkumi 1367 pesakit yang sedang dalam rawatan, 348 dirawat secara Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) manakala 291 pesakit lagi berada dalam senarai menunggu kerana kekurangan tempat.

“Antara perancangan kerajaan untuk atasi masalah ini adalah menambah bilangan syif di pusat yang beroperasi.

“Kedua, menambah mesin hemodialisis di pusat-pusat sedia ada antaranya di hospital, kita lihat masih ada ruang untuk kita tambah 68 mesin,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) yang mahu tahu jumlah pusat hemodialisis di negeri ini sama ada ia mencukupi bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di Terengganu.

Dr Alias berkata, kerajaan juga merancang mewujudkan pusat rawatan baharu antaranya di Telaga Mengkudu, Marang yang telah siap dengan kapasiti 10 mesin, ia mampu memberi manfaat kepada kira-kira 20 pesakit buah pinggang di daerah itu.

Di daerah Besut katanya, terdapat 75 pesakit buah pinggang yang masih menunggu rawatan dan pihak swasta akan membina sebuah pusat hemodialisis bagi kegunaan pesakit di sana.

Artikel Berkaitan:

“Kos untuk membina pusat hemodialisis amat tinggi, harga sebuah mesin sahaja lebih RM30,000 belum termasuk bangunan. Sebab itu kita banyak buat kerjasama, contohnya Maidam sedia mesin, kerajaan sedia lokasi dan KKM sedia tenaga kerja.

“Apa pun, pencegahan merupakan kaedah terbaik iaitu menjaga kesihatan bagi mengelak terkena sakit buah pinggang. Jabatan Kesihatan negeri mengadakan promosi pendidikan dan pencegahan kepada pesakit diabetes kerana golongan ini berisiko tinggi mendapat buah pinggang,” katanya.

Setiap pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis di hospital kerajaan dikenakan caj sebanyak RM13 bagi setiap sesi, RM200 untuk pusat hemodialisis milik NGO manakala caj di pusat swasta antara RM250 hingga RM300 setiap sesi.