1,275 pelajar Negeri Sembilan lulus STPM

Md Fiah (empat kanan) menunjukkan keputusan STPM 2021 Negeri Sembilan.
Md Fiah (empat kanan) menunjukkan keputusan STPM 2021 Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 1,275 daripada 1,290 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 Negeri Sembilan lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal iaitu 98.84 peratus berbanding 98.71 peratus pada tahun 2020.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, daripada jumlah tersebut seramai 53 calon lulus lima prinsipal (4.1 peratus) dan 941 calon lulus empat prinsipal (72.78 peratus).

"Manakala 159 calon lagi, lulus tiga prinsipal (12.3 peratus), 77 calon lulus dua prinsipal (5.96 peratus) dan 46 calon lulus satu prinsipal (3.56 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2021 peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Said, Nilai pada Khamis.

Dalam pada itu, Md Fiah turut mengumumkan seramai 38 pelajar iaitu 2.94 peratus calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

"Mereka ini terdiri daripada 34 orang calon jurusan sastera dan empat orang calon jurusan sains," katanya.

Mengulas lanjut, Md Fiah berkata, PNGK bagi Negeri Sembilan bagi tahun 2021 adalah 2.85 berbanding tahun 2020 iaitu 2.76.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.09 mata. PNGK STPM 2021 Negeri Sembilan pada tahun ini adalah melebihi PNGK Kebangsaan ialah 2.79," katanya.

Sementara itu, Md Fiah berkata, antara mata pelajaran 100 peratus lulus penuh yang terbaik bagi sekolah kerajaan di negeri ini adalah Bahasa Cina, Literature in English dan Mathematics (M).

"Selain itu, mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan prestasinya iaitu Mathematics (M) naik 28.09 peratus, Information and Communications Technology naik 12.5 peratus, Physics naik 8.38 peratus, Sains Sukan naik 5.44 peratus, dan Bahasa Melayu naik 2.34 peratus," katanya.