Pasangan kekasih ditahan, dadah bernilai RM1.2 juta dirampas

Anbalangan (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut.
Anbalangan (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut.
A
A
A

PUCHONG - Sepasang kekasih disyaki pengedar dadah ditahan bersama 6 kilogram (kg) syabu dalam serbuan ke atas sebuah hotel di sekitar Pusat Perdagangan One Puchong, di sini 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan berkata, kedua-dua suspek berusia 20 tahun berkenaan merupakan lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

"Hasil siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu sebuah kondominium yang disewa pihak sindiket sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

"Pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 21kg, 9,600 biji pil erimin 5, dan 6,000 biji pil ekstasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini pada Khamis.

Anbalangan berkata, pihak polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dari mana sumber semua bahan narkotik berkenaan dibawa masuk sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

"Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM 215,000 manakala rampasan kedua RM992,000.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman bermula 10 hingga 24 Ogos mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan," ujarnya.