Penyerang Matar terkejut Rushdie masih hidup

Hadi Matar - Foto Chautauqua County Jail/Getty Images
Hadi Matar - Foto Chautauqua County Jail/Getty Images
A
A
A

NEW YORK - Pemuda New Jersey yang dituduh menikam penulis novel kontroversi berketurunan India, Salman Rushdie memberitahu akhbar New York Post dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Rabu bahawa dia terkejut Rushdie terselamat daripada serangan itu.

"Apabila saya mendengar dia terselamat, saya terkejut," kata pemuda berkenaan, Hadi Matar, 24, memberitahu akhbar tabloid itu seperti dilaporkan AFP.

Akhbar tersebut berkata, ia mengadakan temu bual video tersebut dengan suspek berkenaan yang telah dipenjarakan.

Penyerang itu yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh, tidak menyatakan sama ada dia diilhamkan oleh fatwa pada tahun 1989 yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Khomeini mengarahkan umat Islam membunuh penulis tersebut ekoran Rushdie menulis novel berjudul 'The Satanic Verses' yang menghina Nabi Muhammad SAW.

"Saya menghormati Ayatollah. Saya fikir dia seorang yang hebat. Itu setakat yang saya akan katakan tentang itu," kata Matar yang menurut New York Post dinasihatkan oleh peguamnya supaya tidak membincangkan isu tersebut.

Matar memberitahu akhbar itu bahawa dia telah membaca beberapa halaman novel Rushdie.

"Saya tidak suka orang itu. Saya tidak fikir dia seorang yang sangat baik.

"Dia seorang yang menyerang Islam, dia menyerang kepercayaan mereka, sistem kepercayaan," katanya yang menyentuh tentang penulis berkenaan.

Matar berkata, dia tidak menghubungi pasukan Pengawal Revolusi Iran.

Menurutnya, dia telah mengetahui Rushdie akan bercakap pada majlis sastera di Chautauqua Institution, New York melalui Twitter pada awal tahun ini.

Pada Jumaat lalu ketika Rushdie sedang berada di atas pentas di Chautauqua Institution, seorang pemuda disyaki Matar menyerbu dan menikamnya beberapa kali di leher dan perutnya sehingga penulis berusia 75 tahun itu dirawat di sebuah hospital sebelum menunjukkan tanda-tanda pemulihan akibat tikaman tersebut. - Agensi