'PH tak boleh lupa insiden Pas sekongkol bersama Bersatu, BN'

Young Syefura Othman, Ahmad Fadhli
Young Syefura Othman, Ahmad Fadhli
A
A
A

BENTONG - Angkatan Muda Harapan Pahang menegaskan tiada keperluan untuk penyokong Pakatan Harapan (PH) memberikan sokongan kepada Pas mahupun Perikatan Nasional (PN) yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang, Young Syefura Othman; Ketua Pemuda Sosialis DAP Pahang, Leong Wai Hong; Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Mohd Mustaqim Abd Jalil dan Ketua Pemuda Amanah Pahang, Muhammad Ibrohim Mazalan pada Rabu.

Menurut mereka, insiden di mana Pas telah bersekongkol bersama Bersatu dan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020 tidak boleh dilupakan.

"PH mempunyai sembilan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang mana tujuh daripadanya adalah daripada DAP dan dua lagi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berbanding dengan Pas yang hanya mempunyai lapan kerusi di DUN Pahang.

"Ia boleh dirumuskan daripada perbezaan kerusi tersebut adalah kedudukan PH sebenarnya lebih kukuh jika dibandingkan dengan Pas di negeri Pahang.

"Tidak dinafikan PH juga mempunyai visi dan impian yang sama dengan Pas ingin menumbangkan kerajaan BN dan melakukan reformasi pentadbiran di Pahang sebagaimana yang telah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang," kata mereka.

Mereka berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menjemput penyokong PH bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Pahang.

Menurut mereka, Pas yang telah 'tidur sebantal' bersama BN melalui konsensi Muafakat Nasional dan kembali memusuhi BN semula setelah menjalinkan hubungan luar dengan Bersatu dan kemudiannya menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Jelas kenyataan itu, tindakan terbabit menunjukkan bahawa Pas adalah satu parti yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa.

"Tindakan itu juga membuktikan bahawa sebarang kerjasama dengan Pas tidak menjamin sesuatu hubungan politik yang stabil dan utuh.

"Satu soalan yang ingin diajukan kepada Pas ialah bolehkah Pas memberikan jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi yang dimenangi oleh PH di Pahang dan memastikan komponen mereka dari PN juga tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut?

"Oleh itu, saranan dari Ketua Pemuda Pas ini wajar dibalas dengan perkataan Inggeris yang berbunyi 'thank you, but no thank you'," ujar mereka.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan juga menjelaskan PH selaku 'goverment in waiting' perlu bekerja keras untuk meraih semula sokongan dari rakyat.

"PH Pahang mesti mempertahankan sembilan kerusi yang telah dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan merangka strategi untuk menawan negeri Pahang.

"Parti anggota PH perlu memperbaharui bekerjasama dan memelihara keutuhan yang sedia ada.

"Fokus utama adalah untuk memenangi pilihan raya yang akan datang agar nasib rakyat Pahang dan alam sekitarnya dapat dipelihara dan diuruskan dengan lebih baik dan telus," kata mereka.