Pas ada potensi tawan Pahang pada PRU15


Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan keyakinannya terhadap potensi dimiliki parti itu untuk menawan negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan mengambil senario perkembangan sokongan pada PRU14, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkara itu dapat dicapai sekiranya usaha dilakukan dengan menggunakan kaedah yang betul.

“Hari ini Pas menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU 2018. Barisan Nasional (BN) 25 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) 9 kerusi.

“Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan negeri Pahang, Insya-ALLAH Pas ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau turut berkongsikan beberapa kerusi DUN yang menunjukkan kemungkinan corak sokongan terhadap Pas dalam melawan UMNO antaranya DUN Pulau Tawar dan DUN Tioman.

Mengambil contoh DUN Pulau Tawar, Ahmad Fadhli berkata, keputusan menyaksikan calon Pas hanya kalah dengan majoriti 587 undi di tangan UMNO pada PRU lepas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di kedudukan tercorot mendapat 1,973 undi.

“Pengundi-pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

“Jika beramai-ramai pengundi mereka memberikan undi kepada Pas, Pas boleh memenangi DUN Pulau Tawar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Fadhli, selepas Himpunan Hijau 3.0 (H20K) pada Julai lalu, jentera Pas Pahang juga kelihatan semakin aktif dengan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan parti itu berjaya merampas negeri tersebut.

Pas ketika ini menguasai pentadbiran tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.