'Pas teringat pada 'ex' kah?' - Amirudin

Tangkap layar ciapan AMirudin di Twitter beliau pada Selasa.
Tangkap layar ciapan AMirudin di Twitter beliau pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menyindir Pas yang mengajak penyokong Pakatan Harapan (PH) membantu mereka menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau mempunyai dua jawapan berbeza iaitu secara peribadi dan selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang berhubung pelawaan berkenaan.

Dari sudut peribadi, beliau memerli Pas seolah-olah parti itu mahu kembali ke pangkuan bekas rakan gabungan mereka.

"Aikkk teringat kat 'ex' (bekas rakan gabungan) ke?" soalnya sinis menerusi ciapan di Twitter beliau pada Selasa.

Sebagai jawapan rasmi selaku Pengerusi MPN PKR Pahang pula, Amirudin 'memulangkan paku buah keras' kepada Pas dengan mengajak Pas untuk menyokong PH.

"PKR Pahang seru penyokong Pas Pahang sokong PH untuk jatuhkan BN," tulis beliau.

Ciapan itu sebagai respons kepada Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan menyeru penyokong-penyokong PH berfikir sejenak untuk melihat betapa pentingnya mengubah kepimpinan negeri Pahang.

Kata Ahmad Fadhli, Pas berpotensi menawan negeri Darul Makmur itu jika kena pada kaedah dan pendekatannya.

Pada April lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu pernah bekerjasama selama 20 tahun dengan parti-parti dalam PH dan tempoh itu sudah memadai.

"Biasanya kerjasama politik (yang berakhir) tidak akan berulang,” katanya.

Ketika menjadi pembangkang selepas kemenangan PH pada PRU 2018, Pas memeterai Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

Namun parti Islam itu kemudiannya bertindak menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas gabungan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menjadi kerajaan.