LCS: Tadbir urus Kementerian Pertahanan lemah

Laporan JSTUPKK berhubung LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan dalam portal PAC pada Rabu.
Laporan JSTUPKK berhubung LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan dalam portal PAC pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JSTUPKK) mendapati tadbir urus Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi kontrak pembekalan perolehan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lemah, selain sebahagian daripada klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan.

Jawatankuasa itu dalam laporan mendedahkan, syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

"Kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS telah menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam buah LCS tersebut.

"Kelewatan kerajaan dan pihak syarikat untuk memuktamadkan beberapa komponen telah menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan akan menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan penyerahan LCS," menurut laporan yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan dalam portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu.

Menurut laporan itu, penglibatan anggota pentadbiran di peringkat awal sebelum kontrak ditandatangani turut mengakibatkan reka bentuk, komponen serta peralatan yang diperlukan oleh TLDM sebagai 'end user' diketepikan.

Dalam pada itu, JKSTUPKK turut menjangkakan kos pembinaan enam kapal LCS akan terus meningkat susulan pertukaran peralatan utama yang melibatkan implikasi masa tambahan penyerahan kapal.

"Berdasarkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam LCS memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.4 bilion yang terdiri daripada kos langsung RM58.4 juta dan kos tidak langsung RM1.35 bilion ekoran pertukaran peralatan dan Implementation Schedule.

"Kos tidak langsung melibatkan pelanjutan tempoh Basic Design, Design Authority, jadual penghantaran peralatan, waranti, insuran dan kos kewangan serta sumber lain. Ini menjadikan anggaran keseluruhan kos projek berjumlah RM11.145 bilion," menurut laporan itu.

Sementara itu, JSTUPKK turut menyenaraikan dua syor hala tuju pembekalan enam kapal LCS kepada kerajaan, sama ada meneruskan atau menamatkan kontrak dengan beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

Antara cadangan yang dinyatakan sekiranya meneruskan kontrak ialah BNS dan pasukan projek LCS TLDM perlu memuktamadkan segera perubahan peralatan iaitu Integrated Platform Management System (PMS), Decoy Launching System (DLS) dan permohonan pelanjutan tempoh kontrak.

Kerajaan juga perlu membuat kawalan ketat ke atas bayaran kemajuan kepada BNS agar sumber kewangan hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS dan mengelakkan bayaran dibuat kepada pihak lain yang tiada kaitan dengan projek berkenaan.

"Kajian 'cost benefit' hendaklah dilaksanakan memandangkan anggaran kos akan meningkat melebihi had silling projek berjumlah RM9.128 bilion.



"Bagi mengelakkan kos ini terus meningkat, kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya tertakluk kepada kesan ke atas kos dan masa.

"Sekiranya kerajaan mahu menamatkan kontrak, Mindef perlu mematuhi klausa-klausa yang terkandung dalam kontrak dengan beberapa perkara perlu diberi pertimbangan, antaranya kedudukan aliran tunai BNS setakat 31 Mei 2019 dilihat amat lemah. BNS mempunyai hutang terhadap sembilan buah bank dan BHB sebanyak RM956 juta dan hutang kepada pembekal dan OEM berjumlah RM801 juta.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan kesan kepada pembangunan industri pertahanan dan rantaian pembangunan ekonomi yang berkaitan dengan projek khususnya pembangunan daerah Manjung sebagai Pusat Maritim Malaysia," menurut laporan itu.