Polis nafi beri tawaran diskaun saman trafik di media sosial

JSPT mengesan kegiatan individu membuat tawaran iklan palsu di media sosial berkaitan diskaun saman. - Foto Facebook JSPT
JSPT mengesan kegiatan individu membuat tawaran iklan palsu di media sosial berkaitan diskaun saman. - Foto Facebook JSPT
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penglibatan agensi penguat kuasa itu dengan mana-mana individu yang dikesan memberi tawaran diskaun saman trafik di media sosial.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Facebook rasminya berkata, pihaknya sering kali menerima laporan awam berkaitan adanya individu yang tidak bertanggungjawab membuat iklan tawaran palsu berkaitan diskaun saman trafik secara terbuka di platform media sosial.

"Modus operandi mereka ini adalah mengiklankan grafik polis berserta tajuk tawaran diskaun saman.

"Mereka (suspek) akan mendakwa bahawa mempunyai kenalan yang boleh memberikan diskaun saman seperti yang diminta dengan harga yang tertentu dan urusan ini akan dibuat secara private message (PM) atau direct message (DM) apabila mangsa ingin memerlukan khidmatnya," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, JSPT menafikan sekeras-kerasnya penglibatan jabatan dengan akaun individu mahupun laman media sosial yang menawarkan diskaun saman trafik secara tidak sah.

Tegasnya, tindakan sebegini boleh mencemarkan imej JSPT dan PDRM amnya.

"JSPT menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran saman trafik yang bukan dikeluarkan daripada laman rasmi JSPT dan PDRM. Sentiasa semak sumber maklumat yang boleh dipercayai dan disahkan," ujarnya.