Vaksin malaria pertama dunia lindungi nyawa kanak-kanak

Vaksin malaria RTS,S, adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan selama 35 tahun. Foto: UNICEF Website
Vaksin malaria RTS,S, adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan selama 35 tahun. Foto: UNICEF Website
A
A
A

NEW YORK - Syarikat farmaseutikal Britain, GSK memperoleh kontrak untuk menghasilkan vaksin malaria pertama di dunia supaya berjuta-juta lagi kanak-kanak akan dilindungi daripada penyakit yang membawa maut itu, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa, lapor Xinhua.

Kontrak itu, bernilai sehingga AS$170 juta, akan menghasilkan 18 juta dos vaksin RTS,S yang tersedia dalam tempoh tiga tahun akan datang dan berpotensi menyelamatkan ribuan nyawa kanak-kanak setiap tahun.

Kanak-kanak bawah lima tahun masih antara yang paling terdedah kepada kuman malaria. Pada 2020, hampir setengah juta kanak-kanak lelaki dan perempuan mati akibat penyakit itu di Afrika sahaja, pada kadar satu kematian setiap minit.

Pengarah Bahagian Bekalan UNICEF Etleva Kadilli berkata, pelancaran itu menghantar mesej jelas kepada pembangun vaksin malaria untuk meneruskan usaha mereka.

"Kami harap ini hanyalah permulaan. Inovasi berterusan diperlukan untuk membangun vaksin baharu dan generasi baharu vaksin pada masa depan bagi meningkatkan bekalan yang ada, dan membolehkan pasaran vaksin yang lebih sihat," katanya.

"Ini merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam usaha kolektif kami untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan mengurangkan beban malaria sebagai sebahagian daripada program pencegahan dan kawalan malaria yang lebih luas," tambahnya.

Malaria berpunca daripada parasit dan disebarkan kepada manusia melalui nyamuk Anopheles betina yang dijangkiti. Walaupun boleh dicegah dan dirawat, penyakit itu boleh membawa maut jika tidak diubati.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 30 negara mempunyai kawasan dengan penularan malaria pada tahap sederhana hingga tinggi, dan apabila bekalan vaksin bertambah, ia boleh memberi perlindungan tambahan kepada lebih 25 juta kanak-kanak setiap tahun.

Vaksin malaria RTS,S, adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan selama 35 tahun, merupakan vaksin pertama yang dibangunkan untuk menentang penyakit parasit.

Ia dilancarkan dalam program perintis 2019, yang diselaraskan oleh WHO, di Ghana, Kenya dan Malawi, dan telah sampai kepada lebih 800,000 kanak-kanak.

Pada Oktober tahun lalu, agensi kesihatan PBB mengesyorkan penggunaannya secara meluas di negara-negara dengan penularan malaria sederhana hingga tinggi.

UNICEF menjangkakan menerima permintaan yang tinggi untuk vaksin malaria dari kalangan negara yang terjejas. - Bernama.