Pelarian Rohingya tuntut jaminan keselamatan di Myanmar

Pelarian etnik Rohingya di Kutupalong mengadakan demonstrasi menuntut penghantaran pulang ke Myanmar. - AFP
Pelarian etnik Rohingya di Kutupalong mengadakan demonstrasi menuntut penghantaran pulang ke Myanmar. - AFP
A
A
A
DHAKA - Pelarian Rohingya pada Selasa menggesa Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet yang melawat ke penempatan pelarian untuk PBB melibatkan diri secara aktif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif di Myanmar bagi penghantaran pulang minoriti yang teraniaya ke negara asal mereka, lapor Agensi Anadolu.

Lawatan Bachelet merupakan lawatan pertama Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ke Bangladesh serta penempatan pelarian Rohingya di Daerah Cox's Bazar.

Di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, Bachelet menghabiskan beberapa jam di kem yang penuh sesak dan melawat pejabat pelbagai agensi bantuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menilai perkhidmatan di kem pelarian terbesar di dunia itu.

Beliau juga bertukar pandangan dengan sekumpulan wakil Rohingya dan bertanya kepada mangsa yang terselamat daripada tindakan genosid itu tentang keperluan dan tuntutan mereka.

"Kami meminta beliau untuk melibatkan PBB sebagai organisasi paling berkuasa di dunia untuk mewujudkan persekitaran yang aman di Myanmar supaya kami boleh kembali ke tanah air dengan hak kewarganegaraan dan keselamatan,” kata ketua agama Rohingya, Maulana Azim Ullah.

Ullah berkata, Bachelet memberi jaminan kepada mereka tentang peranan positif PBB dalam penghantaran pulang pelarian Rohingya secara aman, sambil menambah bahawa "sehingga penghantaran pulang secara aman, beliau meminta kami untuk terus bersabar dan tinggal secara aman di kem Bangladesh."

Ketua pemuda Rohingya Khin Maung bagaimanapun berkata, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan perlahan PBB dalam menyelesaikan krisis Rohingya.

"Kami melihat bahawa peranan PBB hanya tertumpu kepada mengambil maklumat, mengeluarkan kenyataan dan memberi jaminan semata-mata. Saya (tidak akan) percaya bahawa platform pemimpin dunia yang begitu berkuasa memerlukan masa yang begitu lama untuk mewujudkan persekitaran di Myanmar bagi penghantaran pulang kekal Rohingya tanpa kerakyatan,” tambah Maung.

Sambil merujuk kepada pembunuhan dua pemimpin Rohingya baru-baru ini di kem itu, beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa dan negara tuan rumah Bangladesh supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengukuhkan langkah-langkah keselamatan di kem.

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Bangladesh Shah Rezwan Hayat menyambut Ketua Hak Asasi PBB di kem itu, walaupun pejabatnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta Rohingya, yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera di negara asal mereka di negeri Rakhine Myanmar pada Ogos 2017. - Bernama.