Selangor bawa usul enakmen warta bahan sejarah

Borhan (empat dari kiri) bersama pihak MPK dan peserta di Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah MPK pada Rabu.
Borhan (empat dari kiri) bersama pihak MPK dan peserta di Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah MPK pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor akan membawa usul enakmen berkenaan pewartaan bahan bersejarah di negeri tersebut untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, ia membolehkan kerajaan Selangor berhak untuk mewartakan bahan bersejarah di negeri berkenaan.

Menurutnya, setakat ini kerja-kerja mewartakan bahan sejarah di Selangor perlu mendapat persetujuan daripada Jabatan Warisan Negara.

"Kerajaan Selangor berbeza dengan Melaka, yang mana mereka memasukkan enakmen dalam Sidang DUN Melaka untuk ada hak mewartakan (bahan sejarah).

"Kita kena memohon kepada Jabatan Warisan Negara dan mendapat persetujuan daripada mereka, kemudian minta izin melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, baru boleh (wartakan bahan sejarah).

"Kita akan angkat isu ini untuk dibahaskan dalam Sidang DUN dan kalau kami ada hak untuk wartakan (bahan sejarah Selangor), maka mudahlah kerja kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Borhan berkata, Gedung Raja Abdullah merupakan antara bangunan bersejarah yang diwartakan oleh kerajaan Selangor.

Monumen lain seperti Jambatan Kota dan Perpustakaan Daerah Klang di sini masih dalam proses untuk diwartakan oleh pihak tersebut.

Pada Rabu, MPK mengadakan Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang sebagai langkah memelihara dan memulihara bahan bersejarah di daerah tersebut.

Bengkel tersebut disertai oleh 50 orang yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, swasta dan syarikat pelancongan.