Puluhan PATI berhimpit dalam rumah sewa

Salah satu premis yang diperiksa dalam Ops Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Rabu.
Salah satu premis yang diperiksa dalam Ops Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ubah suai premis perniagaan dan sewakan kepada puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) antara modus operandi yang dikesan melibatkan segelintir pemilik perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dalam Ops Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Ops Bersepadu itu dijalankan susulan menerima banyak aduan daripada orang awam berkaitan kehadiran PATI berkenaan yang dikatakan mendominasi kawasan terbabit.

Dalam pemeriksaan itu, pihaknya mendapati sebuah premis telah diubah suai kepada lima buah bilik bagi menempatkan puluhan PATI yang menyewa di premis berkenaan dengan bayaran bulanan sebanyak RM100 seorang.

"Hasil pemeriksaan dilakukan juga, kami menyita tiga premis serta barang jualan yang didapati dikendalikan oleh warga asing,” katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Jalaluddin berkata, seramai 401 pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terbabit dalam operasi tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran keras terhadap pemilik premis yang menyewakan premis mereka kepada warga asing atau mana-mana pihak ketiga.

"Kita akan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik premis perniagaan yang dikesan memberi sewaan premis kepada warga asing serta PATI sehingga wujud budaya monopoli perniagaan di sekitar pasar borong.

"Ini termasuk mengambil tindakan membatalkan lesen mereka serta-merta termasuk menyita barang jualan," ujarnya.