Pembantu penguat kuasa JPJ tidak mengaku terima rasuah

Ahmad Jamil (depan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
Ahmad Jamil (depan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 antara 2016 hingga 2019.

Ahmad Jamil Md Saru, 40, membuat pengakuan itu bagi semua pertuduhan dihadapinya selepas dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di JPJ Cawangan Muar didakwa menerima rasuah berjumlah RM27,600 menerusi empat transaksi berbeza di Bank CIMB Cawangan Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019.

Tertuduh didakwa menerima sejumlah wang berkenaan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P P Vijayan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori milik syarikat berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mengikut seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih perlu menanggung seorang isteri dan dua anak berusia 16 dan 10 tahun yang kedua-duanya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain tarikh 20 September untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam JPJ juga diarahkan untuk mematuhi syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500.

Bagi pertuduhan di Melaka, dia didakwa menerima wang suapan itu daripada syarikat yang sama bagi tujuan yang sama antara April 2020 hingga Mac 2021.