Pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

Jalaluddin pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu PDRM bersama DBKL, Jabatan Imigresen Malaysia dan AADK di Kuala Lumpur pada Rabu.
Jalaluddin pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu PDRM bersama DBKL, Jabatan Imigresen Malaysia dan AADK di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik kelab Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di ibu negara susulan kontroversi persembahan komediri yang didakwa menghina agama Islam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut berkuat kuasa 30 Julai lalu.

"Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

"Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama DBKL, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini pada Rabu.

Jalaluddin berkata, beberapa kelab yang dikesan menjalankan aktiviti serupa di sekitar ibu negara sedang dipantau dengan rapi.

"Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

"Bagi pihak yang melanggar syarat perlesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas," katanya.

Pada 13 Julai lalu media melaporkan, premis di Taman Tun Dr Ismail itu digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai selepas didapati tidak mempunyai permit hiburan sejak 2014 hingga 2017 dan hanya memiliki lesen restoran dan minuman.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, menjadi perhatian apabila video memaparkan dirinya membuka baju kurung semasa persembahan komediri di kelab tersebut tular di media sosial.

Dalam pada itu, salah seorang pengasas kelab tersebut, Rizal Van Geyzel menjadi tumpuan apabila video memaparkan persembahan komedinya yang berunsur jelik dan menghina kaum tular.

Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosial yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.