Gesa sesi libat urus sebelum bina asrama pekerja asing

Azrul Mahathir
Azrul Mahathir
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri dan pihak pemaju perlu mengadakan 'town hall' atau sesi libat urus sebelum meneruskan cadangan projek pembinaan enam blok asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, rakyat berhak mendapat maklumat yang jelas berkenaan projek tersebut sebelum ia diluluskan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu membuka ruang ketelusan kepada rakyat untuk bersuara dan beliau bersedia menjadi koordinator untuk menjayakan sesi libat urus berkenaan.

"Saya mohon agar kerajaan negeri, exco yang berkaitan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pemaju dan mereka yang berkaitan agar berani turun bagi mengadakan 'town hall' atau sesi libat urus seperti yang telah dilaksanakan di Bertam.

"Sila bentangkan hasil dapatan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA), penilaian Kesan Alam Sekitar serta kajian lain yang telah dibuat.

"Saya memohon agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menerangkan hasil dapatan kajian dan sertakan cadangan mitigasi yang telah disyaratkan kepada pihak pemaju kepada rakyat setempat," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri membatalkan cadangan membina Asrama Kakitangan Berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang yang terletak di Bertam, Kepala Batas setelah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat oleh pihak pemaju iaitu Lestari Duta Sdn Bhd setelah mengadakan perbincangan dengan penduduk sekitar dan jabatan-jabatan teknikal yang terlibat.

Mengulas mengenai perkara itu, Azrul Mahathir berkata, di Bertam kawasan yang terlibat melibatkan tanah yang digazetkan sebagai Taman Perindustrian tetapi tidak di Teluk Kumbar sehingga ada lot yang pada asalnya Zon Kediaman telah dilingkung semula sebagai Zon Perniagaan.

Jelasnya, di Bertam juga, keluasan kawasan 337 hektar di Teluk Kumbar hanya sekitar 4.3 hektar manakala keluasan seluruh perkampungan Teluk Kumbar tidak mempunyai keluasan sebesar itu.

"Di Teluk Kumbar, projek ini melibatkan sebahagian tanah kerajaan turut diberi milikan kepada syarikat terbabit manakala di Bertam saya tidak fikir melibatkan tanah hak rakyat dikorbankan.

"Bayangkan di Bertam kawasannya seluas tiga blok 10 tingkat yang akan dibina akan tetapi di Teluk Kumbar kawasannya yang sempit dirancang pula untuk membina lima blok 28 tingkat bagi 25,000 pekerja," katanya.

Beliau berkata, rancangan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar amat tidak wajar diteruskan malah perlu dibatalkan.