Cadangan pembinaan asrama pekerja asing terus dibantah

Laporan Sinar Harian berhubung bantahan penduduk. Gambar kanan: Muhammad Bakhtiar
Laporan Sinar Harian berhubung bantahan penduduk. Gambar kanan: Muhammad Bakhtiar
A
A
A

GEORGETOWN - Pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam mengekalkan status kebolehdayahuni di Teluk Kumbar daripada meneruskan cadangan projek pembinaan enam blok asrama pekerja asing.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, cadangan pembinaan asrama pekerja asing bakal memberi impak besar buat penduduk tempatan malah mengundang ancaman keselamatan sosial buat penduduk yang ratanya Melayu dan Cina yang mendiami kawasan tersebut.

Menurutnya, jika projek ini diluluskan, pembinaan ini akan merobohkan 35 unit rumah sedia ada melibatkan lot 1435, 1437, serta sebahagian lot 1779 dan lot 244.

"Tambahan pula, kawasan Teluk Kumbar kini dilingkungi dengan penduduk tempatan sekitar 15,000 orang.

"Sekiranya projek ini diteruskan, pendudukan bakal berhadapan dengan penambahan kira-kira 30,000 hingga 50,000 orang.

"Teluk Kumbar tidak diwartakan sebagai taman perindustrian sepertimana di Bertam, saya pasti ia bercanggah dengan kapasiti kemudahan awam yang telah dibina di kawasan ini seperti masjid, surau dan sebagainya sesuai dengan perancangan asal lokasi ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berkata, pihak berkuasa tempatan perlu terlebih dahulu mengadakan sesi libat urus bersama penduduk tempatan, berdepan dengan mereka, serta membentangkan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta kajian lain yang sudah dibuat.

Jelasnya, penduduk berhak mendapat penerangan secara jelas dan telus berkenaan sebarang perancangan pembangunan di kawasan mereka.

"Dahulu saya telah kemukakan isu kesesakan dan keperluan kerja pelebaran jalan di Gertak Sanggul kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan aliran trafik yang semakin meningkat.

"Jangkaan saya sekiranya perancangan menambah baik infrastruktur pun masih belum tersedia, inikan pula kita hendak berhadapan dengan pertambahan penduduk di kawasan ini," jelasnya.

Tahun lalu penduduk di sekitar Bayan Lepas membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing yang ingin dibangunkan di Teluk Kumbar di sini tidak lama lagi oleh pihak swasta.

Mereka mendakwa projek penempatan asrama pekerja warga asing itu hanya akan mengundang mudarat dan pelbagai masalah pada masa akan datang selain bakal menjejaskan kualiti hidup mereka sebagai penduduk tempatan.

Difahamkan projek terbabit melibatkan pembinaan enam blok asrama pekerja asing yang terdiri daripada 28 tingkat dan 403 unit di Mukim 9 Daerah Barat Daya, Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.