3 beradik termasuk bayi derita komplikasi jantung

Tiga daripada lima anak kepada Hafiz Al Arshad dan Lina menderita komplikasi jantung termasuk jantung berlubang selain keadaan jantung terbalik.
Tiga daripada lima anak kepada Hafiz Al Arshad dan Lina menderita komplikasi jantung termasuk jantung berlubang selain keadaan jantung terbalik.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga beradik termasuk bayi berusia 26 hari di Kampung Seri Makmur, di sini menderita komplikasi jantung termasuk jantung berlubang selain keadaan jantung terbalik.

Bayi berkenaan, Mohd Zikri Hafiz Al Arshad yang dilahirkan pada 21 Julai lalu kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, manakala dua abangnya pula, Muhammad Alif, 5, dan Mohd Fikri Irshad, 3, mengalami komplikasi jantung yang dikesan seawal dilahirkan selain ketika berusia kurang dua minggu.

Menurut bapanya, Hafiz Al Arshad Mohammed, 41, anak ketiganya, Muhammad Alif pernah menjalani pembedahan kerana jantung terbalik sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 serta menelan kos pembedahan keseluruhannya RM50,000.

"Anak keempat pula, Mohd Fikri pula menjalani pembedahan kerana masalah jantung berlubang selain membesarkan saluran pernafasan sempit pada awal tahun lalu dan kos pembedahan mencecah RM30,000.

"Kami bersyukur kerana kesemua pembedahan yang dikendalikan di Institut Jantung Negara (IJN) dibiayai agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), namun mereka dijangka perlu menjalani dua pembedahan masing-masing susulan pada masa depan," katanya.

Mohd Fared (kiri) mengunjungi keluarga Hafiz Al Arshad untuk melihat keadaan dua kanak-kanak yang mengalami komplikasi jantung di Kampung Seri Makmur, Johor Bahru pada Selasa.
Mohd Fared (kiri) mengunjungi keluarga Hafiz Al Arshad untuk melihat keadaan dua kanak-kanak yang mengalami komplikasi jantung di Kampung Seri Makmur, Johor Bahru pada Selasa.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang melawat dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta bahan makanan di rumahnya, pada Selasa.

Hafiz Al Arshad berkata, Mohd Zikri masih tidak dapat dibawa pulang ke rumah sejak dilahirkan kerana berisiko, sebaliknya dia mengunjungi anaknya setiap hari bagi mengetahui perkembangannya.

Dua lagi anaknya iaitu Nursyafina, 12, dan Mohd Dany Aqasha, 8, tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, dia dan isteri, Lina Rais, 37, bersyukur menerima kunjungan Mohd Fared dan teruja apabila kerajaan negeri sudi membantunya untuk melancarkan proses pendaftaran anak ke sekolah supaya tiga daripada cahaya matanya juga berpeluang menimba ilmu.

Hafiz Al Arshad yang bekerja sebagai juru kimpal berkata, bukan sahaja keadaan kesihatan tiga anaknya yang merunsingkan, malah dia juga buntu berkaitan masa depan anak-anaknya kerana masih belum bersekolah walaupun tiga daripada mereka sepatutnya sudah mengikuti pelajaran di sekolah rendah.

"Memandangkan anak ketiga dan keempat bermasalah kesihatan, saya terpaksa berulang-alik ke hospital sekiranya mereka mengalami sebarang masalah kesihatan manakala mereka juga perlu menjalani pemeriksaan susulan di IJN dua kali setahun.

"Saya menampung kos sewa rumah RM300 sebulan selain perbelanjaan dapur, susu serta kos pembelian lampin pakai buang bagi anak," katanya.

Bapa kepada lima anak itu juga bersyukur apabila kerajaan negeri bersedia meringankan bebannya yang terpaksa berulang alik ke hospital bagi rawatan dan pemeriksaan susulan tiga anak yang menghidap komplikasi jantung.

"Dalam sekelip mata, permasalahan dan kebimbangan membelenggu saya selama ini menerima perhatian, syukur Alhamdulillah...tiada kata-kata sesuai bagi menggambarkan perasaan gembira dengan bantuan kerajaan negeri mahupun netizen, ia seolah-olah mimpi indah.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, semakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mendapati keluarga berkenaan belum memohon sebarang bantuan daripada MAIJ mahupun berdaftar sebagai fakir miskin.

"Proses pendaftaran akan disusuli dengan bantuan bersesuaian sama ada sara hidup, bantuan sewa rumah atau sebagainya. Kami akan mengurus persekolahan anak mereka kerana ia amat penting dan keperluan lain seperti kos pengangkutan ke pusat perubatan.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubungi Hafiz di talian 017-7232441.