Siasat individu, syarikat dikaitkan skandal LCS

Dr Ismail (tengah) bersama laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar menggesa siasatan dilakukan terhadap beberapa individu dan syarikat berkaitan skandal LCS.
Dr Ismail (tengah) bersama laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar menggesa siasatan dilakukan terhadap beberapa individu dan syarikat berkaitan skandal LCS.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa individu dan syarikat yang dikaitkan dengan skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) perlu disiasat secara terperinci di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, individu terlibat dalam salah laku, penyelewengan dan ketirisan wang negara melebihi RM6 bilion itu wajar didakwa kerana mencabar kedaulatan dan keselamatan negara.

Menurutnya, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan skandal pembinaan LCS itu jelas menunjukkan berlaku penyelewengan besar wang negara dalam kontrak bernilai lebih RM9 bilion itu.

"Laporan tersebut mengesahkan terdapat salah laku serius melibatkan pengurusan Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Kementerian Pertahanan Malaysia yang meluluskan pembayaran RM1.4 bilion untuk membayar hutang lapuk serta projek-projek yang tiada kaitan langsung dengan LCS.

"Ini termasuk salah laku dalam pembayaran melebihi kemajuan projek sebenar serta pembelian perkakas dan peralatan berjumlah RM1.7 bilion yang telah luput tempoh untuk pembinaan LCS," katanya selepas membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Selasa.

Dr Ismail berkata, penyelewengan dana yang hilang dari BNS kepada syarikat asing di German, iaitu Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebanyak RM3.3 bilion termasuk syarikat asing berpangkalan di Perancis, iaitu French Naval Group berjumlah RM1.7 bilion juga wajar disiasat.

"Selain beberapa syarikat yang dikaitkan dengan LCS, beberapa individu juga wajar disiasat berdasarkan kedudukan mereka ketika berlakunya skandal terbabit.

"Antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 2009 sehingga 2018, yang juga merupakan Pengerusi Mesyuarat Kabinet pada ketika itu yang membenarkan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digunakan bagi pembelian dan pembuatan enam LCS.

"Beliau sendiri mengetahui syarikat yang sama juga terlibat dalam pembelian kapal selam Scorpene sebelum ini iaitu DCNS," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata, siasatan juga perlu dilakukan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Pertahanan (10 April 2009 - 15 Mei 2013) yang mana pada 11 Julai 2011 beliau meluluskan penukaran reka bentuk kapal dari SIGMA (Belanda) ke GOWIND dari Perancis walaupun mendapat teguran daripada Panglima Angkatan Laut Diraja Malaysia pada ketika itu.

"Beliau juga yang membuat pembayaran kepada syarikat CAD dan CED berjumlah RM3.3 bilion," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan juga perlu dibuat terhadap Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien yang merupakan Menteri Pertahanan bermula dari 16 Mei 2013 sehingga Mei 2018.

"Ini kerana beliau meluluskan dana LTAT untuk dibayar kepada BNS bagi pembelian dan penukaran peralatan utama mengikut 'variation order' yang tidak dapat dijustifikasikan pembelian tersebut kerana reka bentuk kapal belum dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan dan TLDM selaku pengguna akhir," katanya.