'Mujur akaun bank bapa sudah disekat'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Tindakan pantas seorang anak menghubungi pihak bank supaya sebarang transaksi menerusi dua akaun milik bapanya disekat menyelamatkan warga emas itu daripada menjadi mangsa penipuan pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.39 pagi, pesara guru berusia 82 tahun didatangi tiga individu yang mendakwa wakil sebuah syariakt telekomunikasi bagi projek pemasangan menara telekomunikasi.

Suspek berkenaan menemui warga emas itu di rumahnya di Paya Dalam di sini mendakwa syarikat mereka berminat untuk menyewa tanah milik mangsa seluas 1.2 hektar bagi mendirikan projek berkenaan.

Tiga suspek berkenaan dengan salah seorang dikenali sebagai Jamaludin seterusnya membawa mangsa ke bank kononnya untuk urusan sewaan tanah.

Anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Syafik, 30, berkata, ketika kejadian dia dihubungi ibunya memaklumkan bapa didatangi tiga individu terbabit untuk mengikut mereka ke sebuah bank.

"Jumaat lalu dia (Jamaludin) memperkenalkan diri dan memberitahu hajatnya untuk menyewa tanah kepada ayah saya.

"Bagaimanapun semalam dia memaklumkan kepada ibu bahawa saya telah memberi kebenaran kepada mereka untuk membawa ayah keluar bagi urusan bank dan sewaan tanah, sedangkan saya langsung tidak dapat dihubungi.

"Selepas itu, saya terus menghubungi pihak bank dan meminta sebarang transaksi melalui dua akaun milik bapa disekat," katanya.

Dia berkata, bapa yang pulang ke rumah dengan menaiki teksi pada jam 1 tengah hari menceritakan suspek membawanya ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM30,000 tetapi transaksi gagal dilakukan.

"Bapa turut mendakwa suspek mengarahnya memberitahu kepada pegawai bank bahawa pengeluaran wang bagi tujuan ubah suai rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan dibuat anak mangsa berhubung kes iti di Balai Polis Tiang Dua dan di Balai Polis Bandar Hilir.

"Saya menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan," katanya.