300 pesawah rugi RM1.5 juta, padi diserang penyakit BPB

Penyakit tersebut menyebabkan biji padi menjadi hampa dan seterusnya mengurangkan berat timbangan padi yang dituai.

Abd Rashid (kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi yang rosak akibat diserang penyakit BPB di Kampung Dulang Kechil, Yan pada Selasa.
Abd Rashid (kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi yang rosak akibat diserang penyakit BPB di Kampung Dulang Kechil, Yan pada Selasa.
A
A
A

YAN - Kira-kira 300 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sekitar daerah Yan mengalami kerugian sehingga RM1.5 juta selepas 500 hektar tanaman mereka diserang penyakit jenis hawar bulir bakteria atau Bacterial Panicle Blight (BPB).

Ahli jawatankuasa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abd Rashid Yob berkata, penyakit tersebut menyebabkan biji padi menjadi hampa dan seterusnya mengurangkan berat timbangan padi yang dituai.

Menurutnya, kerugian besar yang dialami oleh pesawah telah menyebabkan mereka berdepan masalah kerana rata-rata pesawah perlu mencari modal lain untuk digunakan bagi tujuan penanaman padi musim seterusnya.

"Hasil tuai tanaman padi di sekitar kawasan Kampung Dulang jatuh teruk dan rendah dari kebiasaannya akibat penyakit BPB. Kawasan ini terkenal dengan hasil yang tinggi di kawasan MADA tetapi pada musim ini turun dengan mendadak.

"Dengan kos yang tinggi ketika mengusahakannya, kini pesawah terpaksa menanggung kerugian dan mereka tertekan dengan keadaan yang berlaku. Sebanyak 300 pesawah alami kerugian RM1.5 juta apabila 500 hektar tanaman mereka diserang penyakit BPB," katanya pada sidang akhbar di Kampung Dulang Kechil dekat sini pada Selasa.

Antara kawasan tanaman padi lain yang turut terjejas adalah di Kampung Dulang Besar, Kampung Sedaka, Kampung Sungai Limau, Kampung Sungai Lintang, dan Sungai Udang.

Abd Rashid (duduk kanan) bersama pesawah ketika melihat pokok padi yang telah rosak akibat diserang penyakit BPB di Kampung Dulang Kechil, Yan pada Selasa.
Abd Rashid (duduk kanan) bersama pesawah ketika melihat pokok padi yang telah rosak akibat diserang penyakit BPB di Kampung Dulang Kechil, Yan pada Selasa.

Abd Rashid berkata, bagi kawasan MADA, pesawah mampu memperoleh hasil padi sehingga lapan tan bagi satu hektar, namun selepas diserang penyakit itu hasilnya merosot sehingga separuh.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Rosdi Yahya, 54, berkata, serangan penyakit ini boleh dikategorikan sebagai bencana kerana memberikan kerugian besar kepada ramai petani selain tiada racun khusus untuk mengatasinya.

"Bagi musim ini memang kami rugi kerana pendapatan hanya dapat separuh sahaja. Kami agak tertekan dengan keadaan ekonomi semasa selain kos pertanian yang mahal. Kami berasa perit untuk menjalankan tanaman musim akan datang kerana memerlukan modal baharu," katanya.

Seorang lagi pesawah, Harun Ahmad, 63, berkata, dia mengharapkan agar kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung mereka.

"Keadaan kami memang teruk. Jika musim lepas satu relung sawah padi boleh dapat dua tan tapi musim ini dapat 800 kilogram hingga 1.3 tan sahaja.

"Nak cari modal di mana, kami mohon pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), MADA dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk turun bantu kami dari segi kewangan," ujarnya.